KUALA LUMPUR 1 Dis – CelcomDigi Bhd, pengendali rangkaian mudah alih terbesar negara, memperoleh akses spektrum baharu bagi jalur 1800MHz dan 2600MHz daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), berkuat kuasa 30 November 2025.
Menurut syarikat itu, peruntukan bagi jalur 1800MHz akan berjalan sehingga 30 Jun 2032, manakala peruntukan 2600MHz pula berakhir pada 30 Jun 2027.
CelcomDigi telah membuat bayaran pendahuluan berjumlah RM292.5 juta untuk kedua-dua jalur tersebut dan akan menanggung pembayaran tahunan keseluruhan RM120 juta sepanjang tempoh peruntukan.
“Perolehan spektrum baharu ini akan mengukuhkan kualiti rangkaian serta meningkatkan pengalaman pelanggan kami.
“Ini juga adalah sebahagian komitmen CelcomDigi untuk terus melabur dalam infrastruktur digital bagi memenuhi permintaan kesalinghubungan yang semakin meningkat di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, CelcomDigi Bhd melaporkan ia mencatat keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM341.23 juta pada suku ketiga (3Q) yang berakhir 30 September 2025, berbanding RM436.98 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Operator rangkaian mudah alih itu menyatakan penurunan keuntungan disebabkan kos operasi yang lebih tinggi dengan jumlah kos meningkat 10.4 peratus atau RM168 juta, terutamanya akibat kos berkaitan trafik yang lebih tinggi dan peruntukan lebih besar bagi kerugian kredit dijangka.
Hasil yang diperolehi hampir tidak berubah pada RM3.12 bilion — menurun RM1.64 juta berbanding tahun sebelumnya disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam hasil perkhidmatan pascabayar serta perkhidmatan rumah dan gentian optik.
Bagi sembilan bulan pertama 2025, syarikat merekodkan penurunan keuntungan bersih kepada RM1.16 bilion daripada RM1.22 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu, manakala hasil meningkat kepada RM9.51 bilion daripada RM9.40 bilion sebelumnya. - DagangNews.com








