KUALA LUMPUR 2 Dis – Catcha Digital Bhd membatalkan rancangannya untuk mengambil alih 51% pegangan dalam DS Services Sdn Bhd, melalui persetujuan bersama.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Catcha Digital berkata, anak syarikatnya, iMedia Asia group dan DS Services telah bersetuju untuk menamatkan perjanjian jual beli (SSA) melalui sepucuk surat penamatan bertarikh 1 Disember 2025.
“Perjanjian pemegang saham yang berkaitan dengan urus niaga tersebut turut ditamatkan,” katanya.
Sebelum ini, Catcha Digital mengumumkan cadangan pengambilalihan DS Services bernilai RM22.95 juta pada Mac 2025.
Bayaran itu dijadualkan dibuat dalam tiga peringkat sepanjang tempoh 24 bulan, tertakluk kepada DS Services mencapai keuntungan selepas cukai sebanyak RM4.5 juta pada tahun pertama selepas selesai pengambilalihan dan RM4.2 juta pada tahun berikutnya.
Namun, pada 26 Ogos 2025, lembaga pengarah memilih untuk merunding semula SSA dengan para penjual dan tidak membawa cadangan itu untuk kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa yang berlangsung pada 18 September.
Tempoh syarat (conditional period) kemudiannya dilanjutkan sehingga 28 November sebelum kedua-dua pihak memutuskan untuk membatalkan urus niaga tersebut.
Kumpulan itu menjelaskan bahawa sejumlah RM2.63 juta daripada terbitan khas saham baharu kepada pelabur Bumiputera pada Mac 2025, yang sebelum ini diperuntukkan bagi membiayai sebahagian pengambilalihan DS Services, kini akan digunakan untuk pengambilalihan atau kerjasama strategik yang lain pada masa hadapan.
Catcha Digital berkata, penggunaan khusus dana tersebut akan bergantung pada keperluan pembiayaan kumpulan dan status rundingan dengan bakal penjual yang lain.
Setakat ini, Catcha Digital telah menyelesaikan empat daripada lapan urus niaga pada 2025, termasuk pembelian 60% kepentingan dalam One International bernilai RM11.38 juta pada Ogos.
Selain itu, 60% Drive 2 Digital bernilai RM16.2 juta pada Mei; 70% Tastefully Malaysia bernilai RM7.6 juta pada Jun dan 51% Nexible Solutions bernilai RM11.3 juta pada Januari.
Susulan pembatalan pengambilalihan DS Services, hanya tiga cadangan pengambilalihan masih belum dimuktamadkan, iaitu pembelian 92.5% pegangan dalam Theta Service Partner; 60% Framemotion Studio bernilai RM37.32 juta dan cadangan iMedia Asia pada 6 November untuk membeli Maxoom bernilai RM6.125 juta. - DagangNews.com








