KUALA LUMPUR 7 Nov – Catcha Digital Berhad hari ini mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, iMedia Asia Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian jual beli saham bersyarat bagi mengambil alih keseluruhan pegangan ekuiti 100% dalam Maxoom Sdn Bhd, syarikat yang memiliki dan mengendalikan TechNave, portal media teknologi pengguna terkemuka Malaysia dengan jumlah pertimbangan tunai bernilai RM6.13 juta.
Catcha Digital dalam kenyataan hari ini berkata, jumlah tersebut terdiri daripada bayaran penyelesaian sebanyak RM1.8 juta yang akan dibayar pada tarikh penyiapan dan bayaran selepas penyiapan berjumlah RM4.33 juta yang akan dilunaskan 12 bulan kemudian, dibiayai sepenuhnya melalui dana dalaman syarikat.
“Pengambilalihan strategik ini menandakan kemasukan rasmi Catcha Digital ke dalam sektor teknologi pengguna, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran dalam landskap media digital negara,” menurut syarikat itu.
Langkah tersebut dijangka memberi nilai tambah serta-merta kepada keuntungan kumpulan dan menjana sinergi kos tahunan yang ketara hasil penggabungan operasi iMedia dan TechNave.
Pengerusi Catcha Digital, Patrick Grove berkata, pengambilalihan TechNave merupakan satu langkah strategik utama ke arah memperkukuh kehadiran kumpulan dalam segmen teknologi pengguna berimpak tinggi.
“Kami teruja menyambut TechNave sebagai sebahagian daripada keluarga Catcha Digital. Gabungan kredibiliti kukuh TechNave dan hubungan erat mereka dengan jenama teknologi global bersama rangkaian gaya hidup iMedia akan mewujudkan ekosistem baharu yang lebih kuat untuk pengiklan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pengambilalihan ini selaras dengan visi Catcha Digital untuk membina kumpulan digital terkemuka di ASEAN, sejajar dengan pertumbuhan pesat ekonomi digital rantau ini yang dianggarkan bernilai sekitar RM1 trilion, menurut laporan Google, Temasek dan Bain & Company – SEA e-Conomy 2024.
Pengasas bersama TechNave, Steven Boon pula berkata, penyertaan syarikat itu dalam kumpulan Catcha Digital membuka ruang baharu untuk memperluas capaian dan pengaruh jenama tersebut di rantau ini.
“Sejak penubuhan TechNave, kami berusaha membina platform media teknologi pelbagai bahasa paling dipercayai di Malaysia. Penyertaan ke dalam Catcha Digital merupakan langkah semula jadi bagi membawa syarikat ke tahap seterusnya, dengan sokongan kepakaran dan rangkaian digital mereka,” katanya.
TechNave kini merupakan antara portal teknologi pengguna paling berpengaruh di Malaysia dengan capaian lebih 2 juta pengguna sebulan di Facebook dan Instagram, serta 1.5 juta tontonan bulanan di YouTube dan TikTok, melalui kandungan dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Cina.
Ia turut menjalin kerjasama jangka panjang dengan jenama global seperti Samsung, Oppo, Huawei, Honor dan Xiaomi.
Menurut Catcha Digital, pengambilalihan itu dijangka membuka peluang sinergi hasil dan potensi silang jualan yang besar, selain membolehkan iMedia memanfaatkan hubungan TechNave dengan jenama teknologi global bagi menggerakkan jualan kumpulan secara menyeluruh.
Syarikat itu turut menambah dalam tempoh 12 bulan terakhir, Catcha Digital telah mengumumkan tujuh pengambilalihan strategik lain yang dijangka menyumbang keuntungan agregat sekitar RM26.7 juta, sekali gus memperkukuh kedudukan kumpulan sebagai peneraju ekosistem ekonomi digital tempatan.
Antara pengambilalihan utama termasuk 60% pegangan dalam One International Exhibition Sdn Bhd bernilai RM11.38 juta, 92.5% dalam Theta Service Partner Sdn Bhd bernilai RM35 juta, dan 51% dalam DS Services Sdn Bhd (Digital Symphony) bernilai RM22.95 juta, selain penyertaan dalam Framemotion Studio (RM37.32 juta) dan Drive 2 Digital (RM16.2 juta).
“Catcha Digital akan terus meneroka peluang strategik baharu yang melengkapi portfolio sedia ada, selaras dengan komitmen kami untuk menjadi peneraju utama dalam ekonomi digital serantau,” kata Patrick lagi. - DagangNews.com








