Capital A di peringkat akhir keluar daripada status PN17- Tony Fernandes | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Capital A di peringkat akhir keluar daripada status PN17- Tony Fernandes

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Jun — Capital A Berhad sedang dalam peringkat akhir pelan penyelarasannya untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17), dengan dijangka siap selewat-lewatnya pada akhir Julai 2025, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes.


Beliau berkata, kumpulan berkenaan ketika ini sibuk melaksanakan beberapa tugasan akhir sebelum dapat memuktamadkan pelan keluar tersebut, antaranya ialah langkah bagi memuktamadkan cadangan pelupusan kepentingannya kepada Airasia X Berhad (AAX).


Usaha itu tambahnya, melibatkan keseluruhan 100 peratus pegangan Capital A dalam AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL) yang mengendalikan perkhidmatan penerbangan penumpang melalui anak syarikat di Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja serta AirAsia Bhd (AAB).


"Membina syarikat penerbangan adalah sangat sukar, keluar dari PN17 lebih sukar. Kami berada 15 hingga 20 peratus terakhir, dan saya dapat melihat garisan penamat. Saya fikir ia masa yang mengujakan untuk Capital A. Kita hanya perlu melepasi halangan PN17," katanya.


Fernandes turut mengakui yang beliau berpendapat Capital A sebenarnya hampir sampai ke peringkat akhir namun setiap proses regularisasi berkenaan sendiri adalah di luar kawalannya, serta memikirkan sasaran terbaharu kumpulan tersebut ialah akhir Julai 2025.


Capital A jatuh ke dalam kategori PN17 Bursa Malaysia bagi entiti bermasalah kewangan pada Januari 2022.


"Pelan kami memerlukan tiga perkara lagi untuk diselesaikan. Pertama, Bursa Saham Thailand (SET) perlu bersetuju (mengenai cadangan pelupusan) dan kami memiliki pelan sandaran jika kami tidak dapat bersetuju, tetapi saya yakin kami boleh bersetuju," katanya.


Sementara perkara kedua pula tambah beliau, memerlukan lima surat kebenaran daripada pemiutang Capital A sendiri dan kumpulan tersebut mujur sudah pun berjaya mempunyai empat, manakala perkara ketiga ialah ekuiti RM1 bilion, yang telah sedia ada dimiliki.


Sebaik sahaja cadangan pelupusan perniagaan penerbangan AirAsia itu berjaya selesai, Fernandes berharap agar kumpulan berkenaan akan mendapatkan pengesahan daripada pihak mahkamah pula untuk segera memuktamadkan pelan pengurangan modalnya.


Sementara itu, mengulas mengenai rancangan Capital A untuk penyenaraian berpotensi di Bursa Saham Hong Kong (HKEX), beliau berkata, lembaga pengarahnya telah memberi kelulusan dan sangat serius dalam usaha meneruskan cadangan tersebut.


Beliau juga mengesahkan hasrat kumpulan berkenaan untuk menyenaraikan cabang pengurusan jenamanya, ABC International, di pasaran Nasdaq di Amerika Syarikat (AS).


"Sejurus sahaja kami keluar daripada PN17, dua perkara yang boleh saya katakan, satu ialah penyenaraian di HKEX dan dua, kami akan kembali kepada penyenaraian ABC International, yang dahulunya dikenali sebagai Capital A International di AS," kata Fernandes. - DagangNews.com