KUALA LUMPUR 11 Nov – Cape EMS Berhad, penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) dipilih sebagai salah satu penerima sokongan pembiayaan di bawah inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) oleh Maybank.
Program itu bertujuan merangsang perdagangan merentas sempadan, teknologi hijau dan pembuatan bernilai tinggi di Koridor Selatan negara.
Pembiayaan ini dimuktamadkan melalui surat tawaran pembiayaan sempena pelancaran Pusat Perkhidmatan Maybank Forest City dan merupakan sebahagian daripada komitmen RM15 bilion Maybank bagi JS-SEZ.
Ini termasuk RM10 bilion dalam bentuk pembiayaan terus dan sehingga RM5.35 bilion lagi daripada pelaburan pelanggan dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Cape EMS adalah antara lima syarikat Johor yang menerima pembiayaan kolektif kira-kira RM120 juta, menunjukkan keyakinan Maybank terhadap kemampuan syarikat dalam memacu pertumbuhan tenaga bersih dan industri pembuatan serantau.
Pembiayaan ini akan digunakan untuk fasa pengembangan Cape EMS dalam tiga bidang utama iaitu menguruskan kitar hayat Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), pembangunan infrastruktur pengecasan EV dan mobiliti pintar, serta peluasan operasi EMS di Senai.
Cape EMS sebelum ini telah membentuk kerjasama teknologi serantau dan meningkatkan kemampuan pembuatan komponen tenaga bersih dalaman.
Penyertaan syarikat dalam program JS-SEZ selaras dengan Pelan Laluan Peralihan Tenaga Negara (NETR) Malaysia dan objektif kerajaan untuk mengukuhkan koridor Johor–Singapura sebagai pemangkin pertumbuhan industri lestari, penerimaan teknologi hijau, dan pelaburan serantau.
Menurut Cape EMS, pembiayaan ini mengukuhkan keyakinan institusi terhadap hala tuju strategik syarikat dan menyediakan peluang untuk mempercepat penyelesaian tenaga bersih dan infrastruktur generasi akan datang.
“Fokus kami jelas untuk membangunkan sistem tenaga dan infrastruktur berskala besar yang menyokong matlamat negara dan usaha menangani perubahan iklim yang memberi manfaat jangka panjang kepada pelanggan, rakan kongsi serta pihak berkepentingan,” katanya. - DagangNews.com








