Cahya Mata Sarawak perkukuh kepimpinan dengan pelantikan lima ketua fungsi utama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cahya Mata Sarawak perkukuh kepimpinan dengan pelantikan lima ketua fungsi utama

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 2 DisCahya Mata Sarawak Berhad (CMS) memperkukuh teras kepimpinan dan tadbir urus korporatnya dengan melantik lima ketua fungsi utama sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang kumpulan untuk memacu transformasi digital, pengurusan risiko bersepadu dan kemampanan perniagaan.

 

CMS dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Azhar Othman secara rasmi mengambil alih peranan sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan (CFO), manakala Idzam Yuhaizi Mohd Yunos dilantik sebagai Ketua Pegawai Risiko (CRO), Shafik Azlee Mashar sebagai Ketua Juruaudit Dalaman, Mazlan Tuhiman sebagai Ketua Pegawai Maklumat (CIO) dan Farid Shah Mohd Basir sebagai Ketua Pegawai Sumber Manusia (CHRO).

 

Menurut CMS, kesemua pelantikan yang dibuat sepanjang enam bulan lalu ini melengkapkan penstrukturan semula kepimpinan kumpulan merangkumi fungsi kritikal kewangan, risiko, audit, teknologi maklumat dan modal insan, sekali gus memperkukuh tadbir urus serta keupayaan pelaksanaan strategi.

 

Langkah itu turut disokong dengan pewujudan peranan baharu Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat Kumpulan, yang kini disandang oleh Izzam Ibrahim, merangkumi fungsi perundangan, kesetiausahaan korporat, ESG dan komunikasi korporat.

 

Azhar Othman, 58, kini bertanggungjawab memacu strategi kewangan, pengurusan modal dan perbendaharaan, penjejakan prestasi serta hubungan pelabur CMS.

 

Beliau memiliki lebih 35 tahun pengalaman merentasi sektor semikonduktor, automotif, hartanah, teknologi dan pelaburan, termasuk pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Pegawai Kewangan kumpulan di Dagang NeXchange Berhad (DNeX).

 

Sementara itu, Idzam Yuhaizi, 53, akan mengetuai rangka kerja pengurusan risiko perniagaan, operasi dan ESG, selain berperanan sebagai Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Risiko. 

 

Beliau mempunyai 28 tahun pengalaman dalam sektor automotif, tenaga, kewangan dan teknologi, termasuk di UMW Corporation dan Malakoff Corporation.

 

Pelantikan Shafik Azlee sebagai Ketua Juruaudit Dalaman pula memperkukuh ketelusan dan kawalan dalaman kumpulan, with lebih 25 tahun pengalaman dalam audit dalaman, tadbir urus dan pengurusan risiko termasuk di Maxis, Robi Axiata (Bangladesh) dan British American Tobacco.

 

Mazlan Tuhiman, 55, sebagai Ketua Pegawai Maklumat akan memacu agenda transformasi digital CMS, dengan lebih 25 tahun pengalaman dalam IT dan transformasi perniagaan termasuk sebagai CEO Innovation Associates Consulting (subsidiari DNeX).

 

Farid Shah Mohd Basir, 54, pula akan mengetuai strategi modal insan kumpulan, dengan 31 tahun pengalaman sumber manusia di syarikat besar termasuk MBSB Group, Telekom Malaysia, Bank Rakyat dan Nestlé di peringkat tempatan dan antarabangsa.

 

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan CMS, Dato Sri Sulaiman Abdul Rahman Taib, pelantikan ini mencerminkan komitmen kumpulan terhadap pembinaan organisasi moden dan mampan.

 

“Syarikat berbesar hati mengalu-alukan Azhar, Idzam, Shafik, Mazlan dan Farid ke dalam peranan masing-masing dan yakin gabungan pengalaman serta kepakaran mereka akan memperkasa kepimpinan dan hala tuju masa depan kumpulan,” kata beliau.

 

Beliau menambah, pelantikan ini mencerminkan komitmen Cahya Mata untuk membina perusahaan yang moden dan ditadbir dengan baik, yang menjunjung integriti, menyokong agenda transformasi serta memacu pertumbuhan mampan jangka panjang untuk pemegang taruh. - DagangNews.com