BWYS beli tanah industri RM94.5 juta di Banting perluas operasi syarikat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BWYS beli tanah industri RM94.5 juta di Banting perluas operasi syarikat

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Okt – BWYS Group Bhd, pengeluar produk kepingan logam dan pembekalan perancah membeli sebidang tanah industri pegangan bebas di Kuala Langat, Selangor dengan harga RM94.5 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, BWYS berkata, anak syarikat milik penuhnya, BW Scaffold Industries Sdn Bhd menandatangani perjanjian jual beli (SPA) dengan Compass IP Sdn Bhd pada 22 Oktober bagi pengambilalihan tanah berkeluasan kira-kira 11.7 hektar.

 

Tanah tersebut terletak di dalam kawasan Compass @ Kota Seri Langat, sebuah hab industri dan logistik di Mukim Tanjung Dua Belas, Banting, Kuala Langat. 

 

Pengarah Urusan BWYS, Kang Beng Hai berkata, tujuan pengambilalihan tanah tersebut adalah untuk pengembangan operasi masa depan BW Scaffold memandangkan tanah itu lebih besar daripada hartanah sedia ada yang sedang digunakan oleh syarikat.

 

“Ia juga susulan usaha sama kami baru-baru ini dengan Runwin International (HK) Holding Group Co Ltd untuk menubuhkan barisan pengeluaran gegelung keluli bersalut warna berteknologi tinggi.

 

“Dengan tanah baharu di Banting ini, ia akan membolehkan kumpulan menyatukan operasi pembuatan dan pergudangan dalam hab industri moden,” katanya.

 

Kumpulan itu berhasrat untuk membina kilang baharu di atas tanah tersebut yang akan merangkumi bangunan kilang, gudang serta kuarters pekerja berpusat, sekaligus meningkatkan kapasiti operasi kumpulan.

 

Kilang baharu itu akan menampung operasi sewaan dan pembekalan perancah, serta pembuatan pelbagai produk kepingan logam selain digunakan untuk penyimpanan bahan kelulinya.

 

Pembinaan kilang baharu dijangka bermula pada suku kedua tahun 2026.

 

Menurut BWYS, pengambilalihan tanah dan pembinaan kilang baharu dijangka menjimatkan kos dalam jangka panjang dengan menghapuskan pembayaran sewa bagi kilang yang sedang digunakan oleh BW Scaffold ketika ini, yang berjumlah kira-kira RM2.66 juta setahun.

 

Syarikat itu berkata, RM20 juta daripada hasil pelupusan tanahnya di Bukit Changgang akan digunakan bagi membiayai pembelian tanah tersebut, manakala baki selebihnya akan dibiayai melalui pinjaman.

 

Pada Ogos lalu, BWYS menandatangani perjanjian jual beli dengan Yusin Machinery (Malaysia) Sdn Bhd untuk melupuskan sebidang tanah industri pajakan yang mempunyai tiga blok bangunan pejabat empat tingkat, tiga blok kilang teres satu tingkat dan sebuah bangunan tambahan di Pekan Bukit Changgang, Olak Lempit, Kuala Langat dengan nilai tunai RM67 juta. - DagangNews.com