Butterfield FB rancang penyenaraian di Pasaran ACE tingkatkan kapasiti pengeluaran kilang di Pulau Pinang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Butterfield FB rancang penyenaraian di Pasaran ACE tingkatkan kapasiti pengeluaran kilang di Pulau Pinang

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Nov – Butterfield FB Bhd, pengeluar serbuk kopi dan teh menyasarkan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi mengumpul dana untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran kilangnya di Bukit Minyak, Pulau Pinang.

 


Butterfield berkata, jika direalisasikan kelak, ia dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran lebih tiga kali ganda kepada hampir 12,600 tan metrik setahun dan menambah kapasiti storan sebanyak 17%, menurut prospektus draf syarikat.

 

“Syarikat melihat permintaan pasaran yang semakin meningkat dan populariti matcha yang kian melonjak. 

 

“Syarikat merancang memasang laluan pengeluaran khusus untuk pembuatan serbuk matcha yang dilengkapi proses pembungkusan automatik,” kata syarikat tersebut dalam satu kenyataan.

 

Butterfield adalah syarikat perniagaan milik keluarga yang menghasilkan serbuk kopi dan teh di bawah jenama sendiri ‘Butterfield’, selain berdagang bahan makanan pihak ketiga dan minuman campuran segera di Malaysia dan Thailand.

 

Bagi tempoh 12 bulan yang berakhir 30 April 2025, Butterfield mencatat keuntungan bersih sebanyak RM30.4 juta daripada hasil RM245.33 juta. 

 

Hampir 60% hasil syarikat datang dari Malaysia, 34.5% dari Thailand dan selebihnya daripada negara-negara Asia Tenggara lain serta China.

 

Syarikat kini sedang memasang laluan pengeluaran kedua yang dijangka beroperasi pada hujung 2025, manakala laluan ketiga, khusus untuk campuran serbuk matcha, dijadualkan mula beroperasi pada suku pertama 2026.

 

Hasil daripada IPO ini juga akan digunakan untuk membiayai pembelian dan pemasangan sistem penyediaan serbuk, sistem pencampuran dan sistem pembungkusan, termasuk kerja mekanikal dan elektrik berkaitan. 

 

Baki dana akan digunakan sebagai modal kerja dan untuk menampung kos penyenaraian.

 

Selain penerbitan awam saham baharu, Pengasas dan Timbalan Pengerusi Bukan Eksekutif, Yeap Kim Siew dan anaknya Yeap Chin Loon, yang juga Pengarah Eksekutif akan menjual sebahagian saham sedia ada mereka melalui IPO ini. 

 

Keseluruhannya, penyenaraian akan menawarkan sehingga 27.8% pegangan syarikat pada harga yang akan ditentukan kemudian.

 

M&A Securities bertindak sebagai penasihat, penaja, penjamin dan ejen penempatan bagi IPO Butterfield FB. - DagangNews.com