KUALA LUMPUR 1 Julai — Bursa Malaysia Securities Berhad meluluskan pelan penyelarasan Sapura Energy Berhad untuk keluar daripada status bermasalah di bawah Nota Amalan 17 (PN17).
Ia diberikan setelah empat kali pelanjutan tarikh akhir ditetapkan dengan pelan penyusunan semula yang disyorkan itu terdiri daripada empat cadangan antaranya ialah pembinaan semula modal.
Syarikat tersebut meminta lanjutan tarikh akhir pertamanya pada 31 Mei 2023, dengan permintaan lanjutan terkini dibuat pada 17 Disember 2024, untuk lanjutan enam bulan sehingga 31 Mei 2025.
"Turut dikemukakan ialah cadangan penstrukturan semula hutang, cadangan penjanaan dana dan cadangan pengecualian," kata Sapura Energy dalam satu maklumannya kepada Bursa Malaysia.
Status kumpulan itu jatuh kepada PN17 pada 31 Mei 2022 disebabkan isu ekuiti pemegang saham disatukan sebanyak RM85 juta, kurang 50 peratus daripada modal saham RM10.87 bilion pada 31 Januari 2022.
Di samping itu, berlaku ketidakpastian material berkaitan dengan usaha berterusan ditekankan oleh juruaudit syarikat perkhidmatan minyak dan gas itu dalam penyata akaun bagi tahun kewangan 2022.
Untuk kelulusan pelan itu, Sapura Energy dan penasihat utamanya, MIDF Amanah Investment Bank Bhd, mesti mematuhi sepenuhnya peruntukan berkaitan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama. - DagangNews.com








