KUALA LUMPUR 2 Dis – BM GreenTech dijangka mampu mengimbangi kelemahan sementara dalam segmen solar kediaman melalui peluang baharu dalam penyelesaian integrasi sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) bagi pasaran Komersial & Industri (C&I), menurut Maybank Investment Bank.
Firma penyelidikan itu berkata, segmen bio-tenaga dan rawatan air dijangka menyokong pertumbuhan keuntungan pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (2HFY26), berikutan jadual penghantaran projek yang lebih baik.
“Oleh itu, kami mengekalkan unjuran pendapatan sedia ada dan mengekalkan saranan Beli dengan harga sasaran sebanyak RM2.24,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.
Segmen solar mencatatkan keuntungan sebelum cukai 6MFY26 lebih rendah pada RM2.9 juta berbanding RM8.9 juta pada 6MFY25, disebabkan jurang polisi solar bumbung kediaman sementara dan jumlah projek yang masih rendah di Plus Xnergy.
“Bagi mengurangkan impak kelemahan segmen kediaman, BM Greentech sedang bekerjasama dengan pelanggan C&I untuk mengintegrasikan BESS, yang membolehkan penjimatan kos tenaga lebih besar dan mengurangkan caj permintaan maksimum mengikut struktur tarif baharu TNB untuk pengguna voltan sederhana.
“Kebanyakan peluang BESS baharu masih berada di peringkat awal semasa suku ketiga FY26, dengan sumbangan pendapatan lebih kukuh dijangka pada suku keempat FY26,” kata firma tersebut.
Segmen bio-tenaga dan rawatan air biasanya mencatatkan penghantaran projek lebih tinggi pada separuh kedua tahun kerana kesediaan tapak pelanggan.
BMG juga dijangka menyerahkan projek rawatan air pertamanya khusus untuk pusat data pada 3QFY26, sambil meneruskan perbincangan untuk fasa pengembangan masa depan.
“Dengan strategi perubahan ke BESS dan pelaksanaan program Solar ATAP, BM Greentech dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan keuntungan pada FY27 walaupun menghadapi cabaran sementara dalam segmen solar,” kata Maybank IB.
BM Greentech memegang kira-kira 30% bahagian pasaran EPCC dandang biojisim di Asia Tenggara, terutamanya di Malaysia dan Indonesia dan terus mengembangkan kehadirannya dalam segmen solar serta rawatan air industri.
Syarikat juga telah memperluas capaian projek solar berskala utiliti melalui pemerolehan Plus Xnergy (PXH), sementara segmen rawatan air kini termasuk penyelesaian untuk pusat data.
Maybank IB berkata, pendapatan FY25 dijangka menyumbang pertumbuhan kukuh bagi syarikat dengan CAGR tiga tahun 18% untuk FY25-FY28, manakala keuntungan bersih teras dijangka meningkat 12% CAGR bagi tempoh sama.
“Dengan struktur kewangan yang kukuh dan kedudukan tunai bersih, BM GreenTech kekal sebagai penyedia penyelesaian tenaga lestari yang pelbagai, dengan jangkaan pertumbuhan lebih stabil pada separuh kedua FY26 dan tahun kewangan 2027,” katanya. - DagangNews.com








