KUALA LUMPUR 26 Nov – BM Greentech (BMG) mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM23.9 juta bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 (6MFY26) yang lebih rendah daripada jangkaan serta hanya 40% daripada unjuran tahunan Maybank Investment Bank.
Firma penyelidikan itu berkata, keputusan kewangan tersebut disifatkan lemah berikutan segmen solar menghadapi halangan sementara disebabkan jurang dasar antara Skim Pemeteran Tenaga Bersih 3.0 (NEM3.0) yang dihentikan pada Jun 2025 dan pelaksanaan Skim Tenaga Solar Atap Malaysia (Solar ATAP) pada Disember 2025.
“Segmen solar bumbung kediaman menyaksikan kelembapan kerana kebanyakan pelanggan menunda pemasangan sehingga garis panduan Solar ATAP diumumkan.
“Hasil daripada segmen solar merosot 67.6% kepada RM2.9 juta PBT berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Pengambilalihan Plus Xnergy Holdings juga masih pada peringkat awal pelaksanaan projek, sekali gus menambah tekanan sementara terhadap prestasi segmen ini,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.
Bagaimanapun, segmen bio-energi dan rawatan air terus menyokong prestasi syarikat, masing-masing mencatatkan pertumbuhan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 8.4% dan 40% YoY.
Pertumbuhan bio-energi didorong oleh penghantaran projek tempatan yang lebih tinggi, manakala segmen rawatan air mendapat manfaat daripada projek dengan margin lebih tinggi, termasuk peluang baharu menyediakan penyelesaian air untuk pusat data di Malaysia, yang mempunyai potensi saluran 6.7GW.
Harga saham BM Greentech kini berada pada RM1.53.
Bagi separuh pertama tahun kewangan 2026, syarikat mencatatkan hasil sebanyak RM259.1 juta, meningkat 13% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Keuntungan bersih teras bagi tempoh yang sama pula adalah RM23.9 juta, mencatat pertumbuhan 7% YoY.
Segmen solar menyumbang PBT sebanyak RM2.9 juta, menurun 67.6% berbanding tahun sebelumnya, manakala segmen bio-energi mencatat PBT RM22.3 juta, meningkat 8.4% YoY.
Segmen rawatan air pula menyumbang PBT sebanyak RM2.7 juta, meningkat 40% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Maybank IB berkata, syarikat juga bebas daripada hutang besar dan mempunyai tunai bersih yang kukuh, menunjukkan kedudukan kewangan yang sihat.
Seiring dengan kelemahan segmen solar BMG, Maybank IB turut menurunkan unjuran keuntungan FY26-FY28 sebanyak 1–8% dan sasaran harga saham berdasarkan jumlah nilai setiap segmen syarikat (SOTP) kepada RM2.24 daripada RM2.30.
Namun, Maybank IB kekal dengan penarafan beli, menjangkakan pemulihan segmen solar pada suku keempat FY26 dan pertumbuhan berterusan dalam segmen lain - DagangNews.com








