Bina Puri lantik Marcus Goh sebagai GCEO, Mohd Kamarudin selaku Pengarah Bukan Eksekutif | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bina Puri lantik Marcus Goh sebagai GCEO, Mohd Kamarudin selaku Pengarah Bukan Eksekutif

MARCUS GOH KEE LUN
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 April — Bina Puri Holdings Berhad melantik Marcus Goh Kee Lun sebagai Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) yang baharu.


Selain itu, syarikat yang ditubuhkan pada 1975 dan terlibat dalam pelbagai pembangunan hartanah tersebut turut melantik Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas.


Pelantikan itu kata Bina Puri, bagi menggantikan Tan Sri Datuk Tee Hock Seng yang bersara sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif, manakala Dr Tony Tan Cheng Kiat pula bersara sebagai Pengarah Pengasas.


Di samping itu, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kevin Chai Chan Tong mengambil alih peranan Hock Seng sambil terus berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Kumpulan.


"Marcus Goh berpengalaman hampir dua dekad dalam pasaran modal dan korporat. Kini beliau ialah Pengarah Urusan HKFAEx Group Limited, sebuah firma pengurusan aset SFC Hong Kong," kata kenyataan Bina Puri.


Beliau menguruskan aset yang bernilai HKD5 bilion (kira-kira RM2.84 bilion) dan sebelum itu, hampir 10 tahun mengukuhkan kerjayanya dalam firma perakaunan Big Four dengan memainkan pelbagai peranan penting


Antaranya dalam projek terbitan awam permulaan (IPO) bagi syarikat milik kerajaan China (SOE) yang tersenarai menerusi Fortune 500 di Bursa Saham Hong Kong, semasa berkhidmat di PwC Beijing dan EY Shanghai.


Bina Puri berkata, pencapaian Marcus Goh itu termasuk penyenaraian dua syarikat gergasi, China Communication Construction Company Limited dan China Railway Construction Company Limited.

 

Bina Puri
MOHD KAMARUDIN MD DIN


Mohd Kamarudin pula pernah menyandang jawatan kepimpinan utama Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik serta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, di Bukit Aman.


"Beliau memiliki Ijazah Sarjana Keselamatan Maklumat dari Universiti Teknologi Malaysia serta cukup berkaliber dengan pengalaman 30 tahun dalam bidang penguatkuasaan undang-undang selain terkenal komitmen terhadap integriti, profesionalisme, dan kerahsiaan," katanya.


Dengan barisan kepimpinan Lembaga Pengarah yang baharu ini, Bina Puri yakin dapat melaksanakan strategi perniagaan yang lebih mantap dan memperkukuhkan lagi amalan tadbir urus korporat.


Perkembangan ini perlu ketika ia memantapkan kedudukan di Sarawak, sejajar dengan peningkatan permintaan infrastruktur dan peranan strategik Bina Puri dalam projek-projek pembinaan utama.


Pengarah Urusan Kumpulan, Kevin Chai Chan Tong berkata, di bawah peralihan kepimpinan ini, kumpulan itu terus memperkukuhkan perniagaan terasnya dan berjaya mengharungi cabaran, yang membuktikan daya tahan dan pendekatan berwawasan.


Perlantikan baharu ini katanya, membolehkan Bina Puri memanfaatkan kepakaran mereka dalam pasaran kewangan dan tadbir urus korporat secara strategik, memperteguhkan kemampuan untuk menangani cabaran operasi serta meningkatkan akses pembiayaan modal.


"Perkembangan ini juga mengukuhkan lagi fokus Kumpulan dalam pertumbuhan mampan dan penciptaan nilai jangka panjang untuk pemegang saham,” katanya dalam kenyataan syarikat tersebut.


Bina Puri kekal komited untuk menempa kedudukan secara strategik bagi pertumbuhan jangka Panjang termasuklah mempelbagaikan model perniagaan dan mengembangkan kekuatan sedia ada dalam bidang pembinaan, pembanguan hartanah, dan infrastruktur.


Kumpulan juga komited untuk menyertai projek pembangunan dan infrastruktur utama yang akan datang di samping menyokong inisiatif kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi.

Seiring dengan peralihan kepimpinan ini, Bina Puri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Hock Seng dan Cheng Kiat atas dedikasi yang tidak berbelah bahagi dalam mengemudikan perjalanan kumpulan selama ini. - DagangNews.com