KUALA LUMPUR 21 Julai – BIMB Securities berpandangan Malaysia kini memasuki fasa baharu pertumbuhan industri pelancongan dengan menarik ramai pelancong berkualiti yang berbelanja tinggi.
Perubahan fokus tersebut ujar firma penyelidikan itu, berpotensi meningkatkan pendapatan dalam kalangan pemain sektor peruncitan, makanan dan minuman (F&B), hospitaliti serta pelancongan kesihatan.
Sehubungan itu ujarnya, pelabur sektor berkaitan perlu mengalihkan tumpuan daripada jumlah ketibaan pelancong semata-mata kepada nilai perbelanjaan yang dijana ketika mereka berada di negara ini.
"Setakat Mei 2026, Malaysia merekodkan 10.7 juta ketibaan pelancong asing, naik 1.1% berbanding tempoh sama tahun lalu, disokong pelawat dari China, India dan Indonesia," kata BIMB Securities.
Menurutnya lagi, perubahan komposisi negara itu mengurangkan kebergantungan tinggi kepada pasaran tunggal iaitu Singapura, dan meningkatkan daya tahan sektor terhadap sebarang kejutan ekonomi luar.
Katanya, apabila kadar pertumbuhan ketibaan dijangka lebih sederhana pada separuh kedua tahun ini, pelabur seharusnya menumpukan perhatian kepada sektor yang menerima perbelanjaan besar pelancong.

Tambah BIMB Securities, trend semasa menunjukkan Malaysia semakin menarik pelancong yang cenderung berbelanja harian tinggi, sekali gus mengubah landskap industri daripada tempoh tinggal lebih lama.
"Kategori beli-belah kekal penyumbang terbesar kepada hasil pelancongan dengan 36.1%, diikuti F&B sebanyak 15.9%, menjadikan aset amanah pelaburan hartanah (REIT) antara penerima manfaat," katanya.
Ujarnya, pusat beli-belah utama seperti Suria KLCC, Mid Valley Megamall, dan Sunway Pyramid berada di kedudukan terbaik untuk meraih banyak faedah daripada peningkatan perbelanjaan pelancong global.
Pada masa sama jelas BIMB Securities, syarikat peruncitan seperti Padini Holdings dan Poh Kong Holdings yang menawarkan produk premium serta barangan mewah juga memperoleh kelebihan berkenaan.
Firma itu turut melihat pelancongan kesihatan sebagai pemacu pertumbuhan baharu yang lebih berdaya tahan, dengan sektor tersebut menjana pendapatan berjumlah RM3.3 bilion sepanjang tahun lalu.
"Seramai 1.8 juta pelancong kesihatan direkodkan, dengan perjalanan bagi tujuan rawatan didorong oleh keperluan, tanpa dipengaruhi ekonomi dan mampu menjadi sumber hasil hospital swasta," katanya.
Justeru, BIMB Securities menilai KPJ Healthcare Berhad dan IHH Healthcare Berhad memanfaatkan pertumbuhan serta tidak bergantung isu peningkatan bilangan pelawat semata-mata. - DagangNews.com








