BIMB Securities berhati-hati terhadap prospek syarikat semikonduktor tempatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BIMB Securities berhati-hati terhadap prospek syarikat semikonduktor tempatan

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 13 Mac - BIMB Securities mempunyai pandangan berhati-hati terhadap prospek syarikat perkhidmatan pemasangan dan ujian semikonduktor (Osat) tempatan. 

 

Ini disebabkan oleh cabaran yang kian meningkat, termasuk perang perdagangan AS-China yang semakin meruncing, kos operasi yang meningkat dan tekanan harga berterusan yang boleh mengecilkan margin keuntungan.

 

Dengan Nasdaq berada dalam fasa pembetulan dan tarif timbal balik oleh Washington yang dijadualkan bermula pada April 2025, indeks teknologi Bursa Malaysia berada pada paras terendah dalam tempoh lima tahun disebabkan oleh sentimen berhati-hati dalam kalangan pelabur.

 

Syarikat Osat tempatan juga terus bergelut pada suku keempat 2024 (4Q24) disebabkan pendedahan terhad kepada segmen cip berasaskan kecerdasan buatan (AI), yang mendorong pertumbuhan jualan semikonduktor pada tahun 2024.

 

Selain itu, kebimbangan utama bagi sektor semikonduktor adalah tanda-tanda awal permintaan yang lemah, di mana jualan global pada Januari 2025 menurun sebanyak 1.7% berbanding bulan sebelumnya walaupun meningkat 17.9% berbanding tahun lepas (y-o-y) kepada RM250.13 bilion.

 

"Ini menandakan penurunan bulanan kedua berturut-turut dan boleh menimbulkan kebimbangan mengenai potensi puncak dalam kitaran kenaikan semikonduktor.

 

"Kami mengaitkannya dengan kelemahan bermusim, kerana pertumbuhan pada Januari biasanya lebih lemah disebabkan kesan asas tinggi dari peningkatan inventori hujung tahun," kata firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian. 

 

Merujuk kepada data terdahulu, BIMB Securities menyatakan, kitaran penuh teknologi biasanya berlangsung sekitar tiga hingga empat tahun, dengan puncak berlaku dalam tahun kedua atau ketiga.

 

Ia menambah, kitaran semasa bermula pada 2023 dan puncaknya mungkin berlaku antara 2025 dan 2026, yang bertepatan dengan ketegangan perdagangan AS-China. 

 

Ketegangan berkenaan boleh menyebabkan gangguan dalam rantaian bekalan global, peningkatan kos operasi, tekanan inflasi lebih tinggi dan kemungkinan penurunan permintaan.

 

Rumah penyelidikan itu juga menyatakan, kerjasama strategik Malaysia baru-baru ini dengan syarikat semikonduktor terkemuka United Kingdom, Arm Holdings Ltd, untuk meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai semikonduktor, boleh membantu mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab utama dalam pasaran cip global, terutamanya ketika ketegangan AS-China semakin meningkat.

 

"Kerjasama Malaysia dengan Arm menunjukkan komitmen jangka panjang untuk memperdalamkan keupayaan semikonduktor dan menjadikan negara sebagai pengeluar semikonduktor utama di rantau ini.

 

"Walaupun kami menjangkakan kesan positif yang meluas di seluruh rantaian nilai semikonduktor termasuk pemain Osat, ia hanya dapat dilihat dalam jangka masa panjang," tambahnya.

 

BIMB Securities mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor tersebut, tetapi telah menyesuaikan kaedah penilaiannya untuk mencerminkan kitaran semikonduktor yang lebih normal.

 

"Kami percaya rangka kerja ini lebih mencerminkan sifat kitaran sektor ini dan mengambil kira penilaian risiko penurunan yang lebih berhati-hati," katanya. - DagangNews.com