BIG CARiNG sertai Project Blue Dot, tawar 3,000 saringan prostat percuma untuk lelaki Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BIG CARiNG sertai Project Blue Dot, tawar 3,000 saringan prostat percuma untuk lelaki Malaysia

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 12 NovBIG CARiNG Group menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) tiga pihak bersama Kelab Rotary DiRaja Kuala Lumpur (RCKL DiRaja) dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).

 

Kumpulan rangkaian farmasi yang merangkumi BIG Pharmacy, CARiNG Pharmacy, Georgetown Pharmacy, Ting Pharmacy dan Wellings Pharmacy itu berkata, inisiatif projek khas tersebut diterajui oleh RCKL sendiri.

 

Ia bertujuan memperluas akses kepada saringan awal dan pengesanan kanser prostat untuk golongan lelaki Malaysia, khususnya dalam kalangan komuniti B40 dan kumpulan berisiko tinggi.

 

Menurut kenyataan bersama hari ini, MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Operasi BIG CARiNG Group, Chong Yeow Siang, Presiden RCKL DiRaja, Datuk Dr Prakash Rao, dan Presiden NCSM, Datuk Dr Saunthari Somasundaram.

 

Sebagai peneraju utama Project Blue Dot, RCKL DiRaja menaja subsidi ujian Prostate-Specific Antigen (PSA) serta menyelaras sokongan susulan bagi individu yang memerlukan siasatan lanjut selepas menerima keputusan ujian.

 

NCSM pula bertindak sebagai peneraju klinikal dengan menyediakan kakitangan perubatan, protokol saringan dan analisis makmal, manakala BIG CARiNG Group memperluaskan jangkauan inisiatif ini dengan menyediakan lokasi saringan di rangkaian farmasi mereka yang mudah diakses di seluruh negara.

 

Presiden RCKL DiRaja 2025/2026, Datuk Dr Prakash Rao berkata, ramai lelaki masih berasa tidak selesa untuk bercakap mengenai kesihatan mereka, terutamanya yang melibatkan prostat.

 

“Melalui Project Blue Dot, kami berharap dapat menormalisasikan perbualan ini dan menghapuskan stigma. Melakukan saringan bukan tanda kelemahan, tetapi tindakan bertanggungjawab yang mencerminkan kekuatan. Apabila komuniti berkomunikasi secara terbuka, lebih ramai lelaki tampil ke hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Katanya lagi, inisiatif ini bukan sahaja menumpu kepada kesedaran, tetapi turut memberi sokongan kepada saringan, rawatan dan kelangsungan hidup pesakit kanser prostat melalui pengesanan awal serta pembentukan komuniti sokongan yang kukuh.

 

Sebagai pencapaian awal, Project Blue Dot akan menyediakan 3,000 saringan kanser prostat percuma kepada lelaki Malaysia berumur 45 tahun ke atas, khususnya daripada komuniti B40 dan kumpulan berisiko tinggi.

 

Pakar Onkologi Klinikal dan Ketua Projek Project Blue Dot, Dr Malwinder Singh Sandhu berkata, inisiatif ini bukan sekadar program saringan, tetapi usaha menyeluruh memastikan setiap lelaki dengan keputusan PSA tinggi tidak dibiarkan tanpa susulan atau rawatan.

 

“Rotary Club of Kuala Lumpur Diraja bukan sahaja menaja ujian PSA, tetapi turut bekerjasama dengan Pantai Hospital Kuala Lumpur dan Prince Court Medical Centre bagi menyediakan konsultasi urologi percuma serta prosedur diagnostik bersubsidi seperti biopsi dan imbasan PET PSMA jika diperlukan,” katanya.

 

Menurutnya lagi, projek ini turut memperuntukkan bantuan kewangan bagi menampung kos rawatan lanjutan seperti radioterapi menggunakan SBRT, dengan sehingga 20 pesakit B40 akan menerima pembiayaan penuh untuk perkhidmatan diagnostik dan rawatan.

 

“Project Blue Dot akan berlangsung sehingga Jun 2026, sebagai komitmen jangka panjang untuk memastikan pengesanan awal disusuli dengan rawatan lengkap dan berterusan,” tambahnya.

 

Presiden NCSM, Datuk Dr Saunthari Somasundaram pula berkata, kanser prostat sering berkembang secara senyap dan ramai pesakit hanya dikesan pada peringkat akhir apabila pilihan rawatan terhad.

 

“Ujian PSA adalah pantas, tidak menyakitkan, dan boleh menjadi faktor penentu antara penyakit yang dapat dirawat awal atau yang mengancam nyawa. Melalui Project Blue Dot, kami membawa kepakaran perubatan terus ke dalam komuniti dan menjadikan saringan pencegahan sebagai amalan kesihatan penting dalam kalangan lelaki,” katanya.

 

Menurut beliau, lebih 60% kes kanser prostat di Malaysia kini hanya dikesan pada peringkat 3 dan 4, menyebabkan kadar kejayaan rawatan menurun walaupun risiko meningkat selepas umur 40 tahun.

 

Selain saringan, Project Blue Dot turut menyasarkan untuk mencapai 2 juta lelaki Malaysia melalui kempen kesedaran, bantuan rawatan serta pembentukan komuniti “Prostate Warriors” sebagai kumpulan sokongan emosi dan motivasi.

 

Ketua Pegawai Operasi BIG CARiNG Group, Chong Yeow Siang pula berkata, farmasi merupakan titik sentuhan pertama bagi kebanyakan rakyat Malaysia mendapatkan nasihat kesihatan, menjadikan ia saluran penting untuk program saringan komuniti.

 

“Melalui Project Blue Dot, kami akan menawarkan saringan secara langsung di farmasi BIG dan CARiNG kerana pengesanan awal perlu mudah diakses dan mampu milik. Bersama RCKL DiRaja dan NCSM, kami berharap dapat meredakan kebimbangan serta stigma yang menghalang lelaki daripada mendapatkan bantuan,” katanya.

 

Beliau menambah, inisiatif itu juga selaras dengan kempen utama BIG CARiNG, ‘Ribbon of Hope’, yang memperjuangkan kesedaran dan penjagaan kanser di Malaysia.

 

Saringan di bawah Project Blue Dot akan tersedia di cawangan terpilih BIG Pharmacy dan CARiNG Pharmacy di Lembah Klang bermula 15 November 2025 hingga 11 Januari 2026. - DagangNews.com