BHIC tetapkan EGM bentang tawaran tunai 48 sen sesaham Boustead kepada pemegang saham minoriti | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BHIC tetapkan EGM bentang tawaran tunai 48 sen sesaham Boustead kepada pemegang saham minoriti

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 4 Mac - Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) akan membentangkan cadangan penswastaan oleh Boustead Holdings Bhd menerusi pelaksanaan pengurangan modal terpilih dan pembayaran balik pada harga 48 sen sesaham untuk kelulusan pemegang saham dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM).

 

Pada Selasa, pengarah BHIC yang tidak berkepentingan memutuskan untuk membawa cadangan itu ke EGM serta mesyuarat kelas khas bagi pemegang saham keutamaan.

 

DWA Advisory Sdn Bhd telah dilantik sebagai penasihat bebas bagi menilai tahap keadilan dan kewajaran tawaran tersebut.

 

Penswastaan yang diumumkan pada 10 Feb itu melibatkan pembayaran tunai keseluruhan berjumlah RM149.59 juta kepada pemegang saham minoriti, merangkumi 155.86 juta saham biasa BHIC yang dipegang awam serta 155.8 juta saham keutamaan — terdiri daripada 23.63 juta Saham Keutamaan Boleh Tebus dan Boleh Tukar (RCPS A) serta 132.17 juta Saham Keutamaan Boleh Tebus dan Boleh Tukar Islam (RCPS-i A).

 

Ketika ini, Boustead Holdings bersama syarikat induknya, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), secara kolektif menguasai 74.7% saham biasa BHIC.

 

Selepas pelaksanaan cadangan itu, Boustead Holdings akan membatalkan saham dan RCPS yang layak, sekali gus meninggalkannya dengan 408.42 juta saham BHIC dan 84.66 juta RCPS B, menjadikan BHIC anak syarikat milik penuh.

 

Harga tawaran 48 sen itu mewakili premium 54.8% berbanding harga saham BHIC sebanyak 31 sen pada 6 Feb — hari dagangan penuh terakhir sebelum cadangan diterima — serta premium 76.41% berbanding purata harga pasaran berwajaran volum lima hari sehingga tarikh berkenaan.

 

Boustead Holdings berpandangan penswastaan itu akan menyediakan “fleksibiliti lebih besar” bagi mengurus pertumbuhan jangka panjang dan inisiatif teras BHIC — termasuk yang memerlukan tempoh lebih panjang untuk merealisasikan nilai — tanpa menanggung kos pematuhan dan tekanan kawal selia sebagai syarikat tersenarai.

 

BHIC memaklumkan cadangan tersebut turut memberi peluang kepada pemegang saham yang layak untuk melupuskan pegangan masing-masing, mengambil kira kecairan dagangan saham yang rendah. Sepanjang setahun lalu, purata volum dagangan harian BHIC hanya mewakili 0.07% daripada saham apungan bebasnya.

 

Pelaksanaan itu akan dibiayai menerusi pendahuluan daripada Boustead Holdings yang bercadang menggunakan gabungan pinjaman bank dan dana dalaman. Affin Hwang Investment Bank selaku penasihat utama mengesahkan kumpulan itu mempunyai sokongan kewangan mencukupi untuk melengkapkan urus niaga berkenaan.

 

Tertakluk kepada kelulusan pemegang saham minoriti dan pihak berkuasa berkaitan, cadangan itu dijangka dimuktamadkan pada suku ketiga 2026 sekiranya semua syarat dipenuhi.

 

Boustead Holdings sendiri telah diswastakan pada Jun 2023 menerusi tawaran pengambilalihan sukarela pada harga 85.5 sen sesaham, bernilai RM703.2 juta.

 

Pada tahun sama, LTAT memperoleh jaminan kerajaan untuk mengumpul RM2 bilion bagi penswastaan Boustead Plantations Bhd pada harga RM1.55 sesaham, yang berjaya diselesaikan pada Januari 2024. - DagangNews.com