KUALA LUMPUR 20 Julai - Sentimen pelabur asing terhadap Bursa Malaysia terus bertambah baik apabila institusi asing melanjutkan momentum belian bersih kepada dua minggu berturut-turut dengan merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM612.3 juta minggu lalu.
MBSB Research berkata, jumlah itu adalah kira-kira lapan kali ganda lebih tinggi berbanding aliran masuk bersih yang direkodkan pada minggu sebelumnya, sekali gus mencerminkan peningkatan keyakinan pelabur asing terhadap pasaran ekuiti tempatan.
Firma penyelidikan itu berkata, sepanjang minggu dagangan, institusi asing menjadi pembeli bersih pada empat daripada lima hari dagangan.
"Aliran masuk tertinggi direkodkan pada Khamis berjumlah RM238.7 juta, diikuti Selasa (RM174.1 juta), Rabu (RM140.8 juta) dan Jumaat (RM92.1 juta).
"Bagaimanapun, aliran keluar bersih sebanyak RM33.4 juta dicatatkan pada Isnin, menjadikannya satu-satunya hari yang menyaksikan jualan bersih oleh pelabur asing sepanjang minggu tersebut," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Dari segi sektor, Perkhidmatan Kewangan muncul sebagai penerima aliran masuk asing terbesar dengan belian bersih RM754.1 juta.
Ia diikuti sektor Utiliti yang mencatatkan aliran masuk bersih RM194.9 juta serta sektor Perladangan sebanyak RM66.9 juta.
Sebaliknya, sektor Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merekodkan aliran keluar bersih terbesar sebanyak RM256 juta, diikuti sektor Teknologi (-RM98.5 juta) dan Produk dan Perkhidmatan Pengguna (-RM64.3 juta).
Pelabur Domestik
Dalam kalangan pelabur domestik, institusi tempatan meneruskan aliran jualan bersih untuk minggu kedua berturut-turut dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM305.9 juta.
Pelabur runcit pula kembali menjadi penjual bersih selepas mencatatkan belian bersih pada minggu sebelumnya, dengan aliran keluar bersih berjumlah RM306.4 juta.
Dari sudut aktiviti dagangan, purata volum dagangan harian (ADTV) meningkat merentas semua kategori pelabur, didorong oleh peningkatan aktiviti institusi asing sebanyak 40.8%, diikuti pelabur runcit sebanyak 34.3% dan institusi tempatan sebanyak 25.8%.
Sementara itu MBSB Research berkata, ekonomi Malaysia berkembang lebih pantas pada suku kedua 2026 (2QCY26), dengan anggaran awal menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 5.8% tahun ke tahun, berbanding 5.4% pada suku pertama 2026.
Pertumbuhan itu katanya, disokong oleh permintaan domestik yang kekal berdaya tahan serta prestasi lebih kukuh dalam kebanyakan sektor utama ekonomi.
"Peningkatan tersebut didorong oleh pemulihan ketara sektor perlombongan dan kuari, khususnya pengeluaran gas asli yang lebih tinggi, di samping pertumbuhan lebih pantas sektor pembuatan yang diterajui produk elektrik dan elektronik (E&E) serta industri berkaitan petroleum dan kimia. - DagangNews.com








