Bank Muamalat, Kohab jalin kerjasama perkasa celik kewangan penjawat awam di Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank Muamalat, Kohab jalin kerjasama perkasa celik kewangan penjawat awam di Sarawak

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 Feb — Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Koperasi Harapan Sarawak Berhad (Kohab) bekerjasama untuk memperkasakan penjawat awam di Sarawak dengan pengetahuan celik kewangan dan akses yang lebih besar kepada penyelesaian perbankan patuh Syariah.

 

Ia hasil pemeteraian memorandum persefahaman hari ini yang menandakan satu langkah penting digerakkan ke arah usaha mempromosikan aspek pengurusan kewangan yang lebih bertanggungjawab dalam kalangan kakitangan kerajaan negeri berkenaan.

 

Melalui kerjasama unik tersebut, Bank Muamalat bakal menyediakan pendidikan kewangan dan bimbingan khidmat nasihat percuma di bawah Program Kewangan Pintarnya, di samping perkhidmatan penyelesaian perbankan Islam yang disesuaikan.

 

Kohab yang diterajui Jabatan Perakaunan Negeri Sarawak memainkan peranan penting sejak sekian lama dalam usaha berterusan menyokong penjawat awam dengan aspek pengurusan potongan gaji bulanan bagi transaksi pembayaran pembiayaan.

 

Sebagai peserta aktif menerusi Program Pendidikan Pekerja (EEP) Bank Muamalat sejak 2021, Kohab kini terus diperkasakan lagi untuk menggalakkan bidang pengurusan kewangan yang lebih bertanggungjawab dalam kalangan ahli-ahlinya.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, kerjasama pintar itu dijangka memberikan manfaat secara bersama serta mewujudkan penyelesaian nilai menang-menang untuk Bank Muamalat dan Kohab.

 

"Kami bersama-sama mahu menyasarkan untuk memastikan semua penjawat awam di Sarawak menerima pendidikan kewangan dan khidmat nasihat yang terbaik serta memperkasakan mereka untuk membuat keputusan kewangan dengan sempurna.

 

"Inisiatif baharu ini turut selaras dengan agenda keterangkuman kewangan dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia yang mula menekankan kepada kepentingan celik kewangan dalam kalangan penjawat awam.

 

"Menerusi pendidikan kewangan berstruktur disepadukan dengan penyelesaian perbankan Islam yang boleh diakses, kami mengukuhkan komitmen terhadap perbankan yang bertanggungjawab sambil mengembangkan jangkauan kami di kalangan penjawat awam."

 

Inisiatif perkongsian itu jelasnya, turut memperluaskan lagi kehadiran Bank Muamalat di Sabah dan Sarawak dengan menekankan peranannya sebagai penyedia terkemuka penyelesaian kewangan beretika dan patuh Syariah. - DagangNews.com