KUALA LUMPUR 11 Nov – AYS Ventures Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Ann Yak Siong (Singapore) Pte Ltd (AYS Singapore) telah melanggan tambahan 9.74 juta saham dalam 3HA Capital Pte Ltd dengan nilai S$9.74 juta (RM31.15 juta) secara tunai.
Langganan saham terbaharu itu menjadikan pegangan AYS Singapore meningkat kepada 10.03 juta saham, bersamaan 14.9% dalam 3HA Capital.
3HA Capital ialah syarikat yang baru sahaja menyelesaikan proses pengambilalihan CosmoSteel Holdings Ltd, sebuah syarikat keluli yang berpangkalan di Singapura.
CosmoSteel membekalkan produk keluli kepada pelbagai industri di Asia Tenggara termasuk sektor pembinaan, marin, minyak dan gas, serta infrastruktur.
Pada April 2025, AYS Singapore telah melanggan 298,000 saham dalam 3HA Capital bernilai S$298,000 (RM1 juta).
Selepas pelaburan terbaharu itu, pegangan AYS Singapore kekal seimbang dengan ahli konsortium lain di bawah perjanjian pemegang saham yang ditandatangani awal tahun ini.
Antara ahli lain konsortium tersebut ialah HHH Group Pte Ltd, Hanwa Singapore (Private) Ltd dan Thor Capital Pte Ltd.
3HA Capital ditubuhkan di Singapura pada 16 April 2025 sebagai syarikat pegangan pelaburan bagi melaksanakan tawaran tunai bersyarat secara sukarela untuk membeli semua saham terbitan CosmoSteel Holdings Ltd, yang ketika itu tersenarai di Bursa Singapura (SGX).
Tawaran pengambilalihan itu dilancarkan pada 15 Mei 2025 pada harga S$0.20 sesaham sebelum dinaikkan sebanyak 25% kepada S$0.25 sesaham pada 23 Jun.
Proses pengambilalihan selesai pada 23 September 2025 dan CosmoSteel telah dinyahsenaraikan daripada SGX sehari kemudian.
AYS berkata, langganan saham tersebut dibiayai sepenuhnya menggunakan sumber dalaman kumpulan tanpa sebarang liabiliti atau jaminan.
“Pelaksanaan itu juga tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa kawal selia, serta tidak memberi kesan kepada modal saham terbitan atau kepentingan pemegang saham utama kumpulan.
“Kejayaan CosmoSteel bergantung kepada kemampuan syarikat itu untuk menjimatkan kos operasi, mengurus aliran tunai dengan bijak dan memperkenalkan produk serta perkhidmatan kejuruteraan yang memberi keuntungan lebih tinggi, selagi tiada masalah luar jangka berlaku,” kata AYS.
Sehingga akhir Jun lalu, AYS mempunyai baki tunai sebanyak RM34.51 juta berbanding jumlah pinjaman RM405.65 juta.- DagangNews.com








