KUALA LUMPUR 7 Nov – Axis Real Estate Investment Trust (Axis REIT) dijangka mencatat pertumbuhan dan agihan pendapatan kepada pemegang unit (DPU) yang lebih kukuh bagi tahun kewangan 2026 hingga 2027 susulan pengambilalihan terbesarnya bernilai RM800 juta di Seberang Perai Tengah, menurut CGS International.
Firma penyelidikan itu berkata, pengambilalihan hartanah industri seluas 135.5 ekar daripada Ann Joo Steel Bhd itu adalah langkah strategik Axis REIT untuk mempercepatkan pertumbuhan tidak organik (inorganic growth) menerusi aset berkualiti tinggi dengan penyewa jangka panjang.
Transaksi itu melibatkan perjanjian jual dan pajak balik (sale-and-leaseback) selama lapan tahun, di mana Ann Joo Steel akan menyewa semula fasiliti tersebut dengan bayaran RM4.16 juta sebulan.
“Sebahagian ruang akan diserahkan semula antara tahun kelima dan ketujuh, dengan kadar sewaan disemak semula berdasarkan keluasan yang digunakan.
“Pengambilalihan ini merupakan transaksi terbesar dalam sejarah Axis REIT dan selaras dengan strategi syarikat untuk meningkatkan portfolio hartanah industri yang mempunyai jaminan pendapatan jangka panjang serta kestabilan aliran tunai,” kata CGS International dalam nota kajiannya.
ARTIKEL BERKAITAN: Axis-REIT beli hartanah industri berharga RM800 juta di Seberang Perai, Pulau Pinang
Firma penyelidikan itu menjelaskan, hartanah berkenaan terletak di Taman Perindustrian Prai yang strategik, dengan akses mudah ke Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Utara–Selatan dan Pelabuhan Pulau Pinang, menjadikannya lokasi ideal bagi sektor logistik dan pembuatan di koridor industri utara Malaysia.
Berdasarkan kadar sewaan tetap, CGS International menganggarkan aset tersebut bakal menyumbang kira-kira RM44 juta setahun kepada pendapatan bersih operasi (NPI) Axis REIT, bersamaan 14% daripada unjuran NPI tahun kewangan 2026.
Walaupun hasil NPI daripada aset itu dianggarkan pada kadar 5.6%, sedikit rendah berbanding purata hasil portfolio Axis REIT sebanyak 6.1%, firma berkenaan berpandangan pasaran akan menilai langkah ini secara positif kerana ia memberi pertumbuhan DPU yang bermakna serta kestabilan aliran tunai di bawah pajakan lapan tahun.
Setakat ini, Axis REIT telah melengkapkan tiga pengambilalihan bagi tahun 2025, dengan jumlah nilai keseluruhan mencecah RM930 juta, meningkat daripada RM719 juta bagi lapan pengambilalihan pada tahun sebelumnya.
CGS International mengekalkan saranan “Add” terhadap Axis REIT dengan harga sasaran RM2.29 berdasarkan model diskaun dividen (DDM), dengan kos ekuiti (COE) 6.3% dan pertumbuhan terminal 2%.
Firma itu turut menjangka kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) agihan pendapatan bagi tempoh tahun kewangan 2024 hingga 2027 akan kekal kukuh sekitar 7.7%, disokong oleh pengembangan aset strategik dan potensi pengambilalihan baharu dalam tempoh akan datang. - DagangNews.com








