KUALA LUMPUR 16 Okt – Aveta Malaysia, jenama motosikal tempatan menyasarkan pertumbuhan jualan sebanyak 50% pada 2025 melalui pelancaran Preferred Dealers Program dan memperluaskan rangkaian pengedarnya ke Malaysia Timur.
Program baharu itu memperkenalkan struktur pengedar bertahap, termasuk Preferred Dealers dan Preferred Plus Dealers, yang bertujuan mempertingkat pengalaman pelanggan, memberikan servis selepas jualan professional serta mengukuhkan kerjasama strategik dengan pengedar.
Aveta turut melancarkan Elite Centre pertama di Sabah sebagai pusat sehenti untuk jualan, servis dan alat ganti, selain menjadi pusat pameran bagi seluruh rangkaian produk syarikat.
Pengarah Urusan Kumpulan Aveta Malaysia, Steven Lim berkata, pasaran motosikal tempatan menunjukkan pemulihan kukuh dengan jualan melebihi 720,000 unit pada 2022 dan kadar pertumbuhan tahunan sekitar 3.5% hingga 2030.
Beliau berkata, pendaftaran motosikal Aveta meningkat tiga kali ganda sejak pelancaran model Nova 160 dan Vanguard 250, menunjukkan permintaan yang semakin berkembang.

“Malaysia Timur menjadi tumpuan utama syarikat kerana pasaran di Sabah dan Sarawak merupakan pasaran terbesar Aveta.
“Di bawah struktur baharu, Preferred Dealers akan menumpukan kepada model utama Aveta yang disesuaikan dengan segmen pelanggan berbeza, manakala Preferred Plus Dealers akan mengendalikan Pusat Servis Bertauliah Aveta dengan mekanik terlatih dan peralatan khas untuk memastikan servis selepas jualan profesional dan boleh dipercayai.
“Elite Centre pula berfungsi sebagai pusat sehenti untuk jualan, servis dan alat ganti, serta menawarkan akses kepada model eksklusif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Program ini dilaksanakan secara berperingkat dengan sasaran 30 pengedar Preferred dilantik di seluruh negara menjelang akhir 2025 dan berkembang kepada 50 menjelang akhir 2026.
Aveta berharap melalui inisiatif ini, setiap penunggang akan menikmati pengalaman pemilikan motosikal yang lancar dan meyakinkan.
Aveta, sebahagian daripada MAG Group, ditubuhkan pada 2018 dan memberi tumpuan kepada pembuatan, pemasangan dan pengedaran motosikal berkualiti tinggi pada harga mampu milik. - DagangNews.com








