KUALA LUMPUR 16 Mac - Program Penilaian Kereta Baharu bagi Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) menarik balik penarafan keselamatan 5 bintang bagi Proton X90 susulan model facelift 2026 yang baharu dilancarkan didapati mengugurkan beberapa sistem utama Advanced Driver Assistance Systems (ADAS).
Badan keselamatan kenderaan serantau itu memaklumkan pengguguran beberapa teknologi keselamatan menyebabkan model tersebut diturunkan kepada penarafan satu bintang di bawah protokol ASEAN NCAP 2021–2025.
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Profesor Madya Dr. Siti Zaharah Ishak berkata, keputusan Proton menggugurkan teknologi ADAS yang mampu menyelamatkan nyawa daripada model facelift berkenaan amat dikesali.
“Kami amat kesal dengan keputusan Proton menggugurkan teknologi ADAS yang boleh menyelamatkan nyawa daripada model facelift baharu ini.
"Bagi melindungi pengguna serta mengekalkan integriti piawaian keselamatan, kami tiada pilihan selain menarik balik penarafan lima bintang yang diberikan pada 2023,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, di bawah protokol 2021–2025, skor rendah dalam mana-mana kategori akan mengehadkan penarafan keseluruhan kenderaan tersebut.

Jangan utamakan infotainmen semata-mata
Siti Zaharah turut mengingatkan pengeluar kenderaan agar tidak mengorbankan teknologi keselamatan yang telah terbukti berkesan semata-mata untuk menonjolkan elemen kemewahan seperti sistem infotainmen atau kemasan dalaman berkulit.
Menurut ASEAN NCAP, Proton X90 pada asalnya memperoleh penarafan lima bintang pada 2023 dengan skor keseluruhan 83.79 mata di bawah protokol 2021–2025.
Daripada jumlah itu, sebanyak 37.75 mata diperoleh bagi kategori Perlindungan Penumpang Dewasa; 17.79 mata bagi Perlindungan Penumpang Kanak-Kanak; 15.71 mata bagi Bantuan Keselamatan dan 12.50 mata bagi Keselamatan Penunggang Motosikal, yang ketika itu mencerminkan prestasi keselamatan menyeluruh yang kukuh.
Bagaimanapun, semakan terhadap spesifikasi rasmi Proton X90 model 2026 mendapati beberapa teknologi ADAS yang sebelum ini ditawarkan telah digugurkan.
Antaranya termasuk Autonomous Emergency Braking (AEB), Forward Collision Warning (FCW), Lane Departure Warning (LDW), Lane Keep Assist (LKA), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) serta teknologi pengesanan titik buta atau Blind Spot Detection.
Varian 2023–2025 sah ada ADAS
Ketua teknikal ASEAN NCAP, Yahaya Ahmad berkata, sistem Blind Spot Detection merupakan faktor penilaian penting dalam kategori Keselamatan Penunggang Motosikal.
Katanya, pengguguran ciri tersebut bersama beberapa sistem bantuan keselamatan canggih lain menyebabkan Proton X90 kehilangan mata yang sebelum ini membolehkannya mencapai penarafan tertinggi.
“Keselamatan mesti menjadi keutamaan yang boleh diakses oleh semua, bukan satu kemewahan,” katanya.

Menurut ASEAN NCAP, pengguguran teknologi berkenaan menyebabkan skor kategori Bantuan Keselamatan merosot kepada tahap empat bintang, manakala kategori Keselamatan Penunggang Motosikal jatuh kepada satu bintang.
Di bawah peraturan protokol berkenaan, penarafan keseluruhan dihadkan kepada kategori dengan prestasi terendah, sekali gus menyebabkan Proton X90 diturunkan kepada penarafan satu bintang.
Organisasi itu turut menjelaskan penarafan keselamatan lima bintang masih terpakai hanya kepada varian Proton X90 yang dikeluarkan antara 2023 hingga 2025, yang telah disahkan memiliki teknologi ADAS seperti ditetapkan di bawah protokol penilaian 2021–2025.
ASEAN NCAP dan MIROS turut menasihatkan pengguna supaya menyemak spesifikasi keselamatan bagi varian kenderaan yang ingin dibeli bagi memastikan ia memenuhi piawaian keselamatan lima bintang. - DagangNews.com








