KUALA LUMPUR 9 Jun - Kerajaan bakal memperluaskan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai 2025 bagi menjadikan sistem ini lebih bersasar dan adil, dengan memberi tumpuan kepada mereka yang berbelanja lebih untuk barangan dan perkhidmatan bukan keperluan.
Ini adalah perubahan yang bakal berlaku:
1. Lebih banyak perkhidmatan akan dikenakan cukai
Enam kategori baharu perkhidmatan akan dikenakan cukai perkhidmatan, iaitu pajakan dan sewaan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan, dan perkhidmatan kecantikan.
Perkhidmatan ini akan dikenakan cukai antara 6% hingga 8% dengan ambang dan pengecualian tertentu bagi melindungi golongan berpendapatan rendah dan perniagaan kecil.
2. Barangan keperluan kekal bebas cukai
Barangan asas seperti beras, minyak masak, gula, susu, ubat-ubatan, buku dan juga bahan binaan seperti simen dan pasir kekal dikenakan cukai jualan sifar peratus.
Tiada perubahan – keperluan harian anda tidak akan menjadi lebih mahal disebabkan SST.
3. Barangan mewah dikenakan cukai lebih tinggi
Barangan seperti buah-buahan import, ketam raja, cendawan trufel, kain sutera, basikal lumba dan lukisan antik kini akan dikenakan cukai sebanyak 5% atau 10%, bergantung pada jenis barangan.
Barangan ini dianggap bukan keperluan asas.
4. Apa yang dikenakan cukai dan apa yang tidak, dalam kategori perkhidmatan baharu
• Pajakan dan sewaan: Dikenakan cukai 8% jika pendapatan tahunan melebihi RM500,000. Namun, sewaan kediaman dan perniagaan kecil dikecualikan.
• Pembinaan: Dikenakan cukai 6% bagi kontrak melebihi RM1.5 juta. Perumahan awam dan bangunan kediaman dikecualikan.
• Kewangan: Perkhidmatan berasaskan yuran dikenakan cukai lapan peratus, tetapi perbankan asas, kewangan Islam dan perkhidmatan pengiriman wang tidak terjejas.
• Penjagaan kesihatan swasta: Hanya warganegara asing dikenakan cukai 6%. Warganegara Malaysia dikecualikan, termasuk rawatan tradisional seperti perubatan Cina, Melayu dan India.
• Pendidikan: Cukai 6% dikenakan ke atas sekolah swasta yang mengenakan yuran melebihi RM60,000 setahun bagi setiap pelajar serta pendidikan tinggi untuk pelajar antarabangsa. Warganegara Malaysia dan orang kurang upaya (OKU) dikecualikan.
• Perkhidmatan kecantikan: Dikenakan cukai 8% jika pendapatan perniagaan melebihi RM500,000 setahun. Ini termasuk rawatan wajah dan salon rambut.
5. Tempoh bertenang untuk perniagaan
Tiada penalti atau penguatkuasaan sehingga 31 Disember 2025, bagi memberi masa kepada perniagaan untuk menyesuaikan diri. - DagangNews.com








