Pada tahun 2025, Malaysia mempengerusikan ASEAN 2025, dan fokus utama tentulah pemerkasaan visi Komuniti ASEAN 2025 yang Malaysia perkenalkan pada 2015.
Satu daripada naratif utama yang sering terlepas pandang dari dimanfaat untuk mengeratkan kebersamaan dan hala tuju bersama adalah melalui seni, sastera dan sejarah serantau yang telah diwarisi sejak berzaman di seluruh Asia Tenggara.
Sastera lisan menawarkan pemahaman dan cinta terhadap sejarah, sastera, dan seni budaya unik. Dengan menggalakkan kerjasama dalam penerbitan, filem, dan persembahan teater, kita boleh mendorong pemahaman bersama, penyelidikan, dan budaya saling menghormati keunikan budaya di kalangan negara-negara ASEAN.
Inisiatif seumpama ini tidak hanya meningkatkan kerjasama budaya tetapi menyemarakkan identiti bersama Asia Tenggara.
Tahun ini, Persatuan Sastera Lisan Negara (PERSALINA) secara aktif mengumpulkan cerita lisan serantau untuk mencetuskan sebuah projek yang menarik. PERSALINA bekerjasama rapat dengan syarikat penerbitan Hikayat Fandom untuk mencapai hasrat murni ini.
Penglipurlara | Cerita Rakyat Asia Tenggara menghimpunkan folklor, cerita rakyat, lagu rakyat, pantun dan puisi Asia Tenggara di dalam penerbitan yang saling menghormati hikayat dan cerita rakyat serumpun serantau.
Penerbitan ini memperkenalkan dan berhasrat menanam rasa cinta dan kasih serta membantu pembaca mengenali dengan lebih dekat hikayat serantau.
Penglipur Lara telah berhasil menghimpunkan warisan cerita rakyat Asia Tenggara melalui sebuah penerbitan yang memelihara hikayat dan cerita rakyat yang kaya makna dari seluruh serumpun Asia Tenggara.
Penerbitan ini tidak hanya memperkenalkan, tetapi juga bertujuan menanamkan rasa kasih sayang dan kebanggaan serta membantu penulis dan pembaca saling memahami kekayaan hikayat serantau.
Projek ini tidak hanya melestarikan warisan sejarah, seni, dan budaya, tetapi juga memperkukuhkan pemahaman dan ikatan kekeluargaan dalam kalangan masyarakat Asia Tenggara.
Melalui usaha penulisan dan penerbitan ini, kesedaran terhadap keunikan budaya Asia Tenggara dipertingkatkan, sekaligus merangsang pertumbuhan sektor kebudayaan dan pelancongan di rantau ini.

Sebenarnya, antologi lebih 40 kisah Penglipurlara ini adalah cetusan ilham dari Pengasas Persatuan Sastera Lisan, Prof Emeritus Dr Muhammad Hj Salleh. Tugas untuk mengumpul cerita lisan tanah air diterajui oleh Dr Mohamad Luthfi Abdul Rahman dan Puan Dayang Mastura sejak 2020.
Hari ini tugas ini diteruskan oleh Ahli Jawatan kuasa PERSALINA terbaru yang menemubual pengumpul cerita seluruh negara. Pada tahun ini, persatuan telah memperhebatkan usaha mengumpul kisah cerita rakyat serantau pula menghubungi rakan sastera negara jiran sehingga terhasil antologi teristimewa ini.
Satu aspek yang paling membeli kepuasan pada kami adalah peluang memanjangkan jemputan dan berhubung dengan dengan penulis dari kepulauan Melayu seperti dari Indonesia, Borneo, Filipina dan Singapura, malah dari Burma dan Thailand.
Antara penulis di luar sana adalah Ani Omar dari Malaysia, Arian Tejano (Filipina), Imam Qalyubi (Indonesia), Lutfi Abdul Rahman (Malaysia), Dato Mahyudin Al-Mudra (Indonesia), Makmur Harun (Indonesia), Maria Mahat (Singapura), Minah Sintian (Malaysia), Nasirin Abdillah (Malaysia), Ninot Aziz (Malaysia), Norjietta Julita Taisin (Malaysia), Oki Supriadi S Sn (Indonesia), Rahma Yuniarsih (Indonesia), Ruby Yusuf (Malaysia) dan Zoel Masry (Indonesia).
Terasa seronok mengetahui terdapat banyak kisah yang dikongsi bersama pelbagai negara seperti Bidasari, Batu Bertangkup, Si Tanggang dan Kisah Wayang Kulit dan Makyong. Ini menunjukkan anak anak generasi muda yang mengenali kisah-kisah ini mempunyai kesinambungan dan persamaan nilai budaya dari kecil lagi.
Saya amat bersyukur kerana dapat berinteraksi dengan para penulis dari kepulauan Melayu seperti Indonesia, Borneo, Filipina, Singapura, Myanmar dan Thailand, yang telah memberikan nuansa yang unik dalam antologi ini.
Kepada editor, Dr. Nasirin Abdillah dan Dr. Ani Omar, serta semua pihak yang terlibat, termasuk Ketua Ilustrator, Walid Muhammad, saya mengucapkan terima kasih atas usaha gigih yang telah dilakukan. Tanpa kerjasama dan dedikasi mereka, kejayaan antologi ini tidak akan tercapai.
Antologi cerita rakyat Asia Tenggara yang memperkaya pewarisan budaya dan memperkukuhkan kebersamaan, kita merangkum bahawa warisan cerita rakyat memainkan peranan penting dalam menyatukan masyarakat serantau.
Dengan ASEAN 2025 sebagai platform untuk memperkukuhkan hubungan antara negara-negara di Asia Tenggara, adalah penting untuk terus mempromosikan dan mendokong usaha untuk mewartakan cerita-cerita rakyat yang menunjukkan identiti dan keindahan warisan budaya yang kita miliki bersama.
Melalui pemahaman dan penghargaan terhadap kisah-kisah nenek moyang, kita dapat terus melestarikan kepelbagaian dan merapatkan jurang di antara negara-negara ASEAN.
Ini demi mencapai visi keharmonian dan kejayaan Komuniti ASEAN bersama. - DagangNews.com
Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Negara 2025/2026 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin. Emel : [email protected]








