KUALA LUMPUR 7 Mei – Ann Joo Resources Berhad masih lagi terus mencatatkan kerugian bersih dan kali ini mencecah sebanyak RM274.89 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25).
Perkembangan negatif berkenaan dipengaruhi terutamanya oleh faktor persekitaran industri besi yang hambar serta harga jualan produk keluli lebih rendah di pasaran sepanjang tahun dalam tinjauan tersebut.
Walaupun mencatatkan kerugian selepas cukai (PAT), jumlah tersebut menunjukkan ada pengecilan 7.34% berbanding kerugian bersih sebanyak RM296.65 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2024.
"Pendapatan kumpulan ini bagi tahun lepas turut menyusut kepada RM2.17 bilion, berbanding kira-kira RM2.52 bilion pada tahun sebelumnya," kata Ann Joo dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.
Penurunan hasil sebanyak 13.8% ini berpunca daripada pengurangan jualan dan harga produk yang lebih rendah, serta impak daripada penutupan strategik loji huluan kumpulan pada tahun berkenaan.
Bagaimanapun ujarnya, kerugian sebelum cukai (PBT) mengecil kepada RM96.54 juta daripada RM120.17 juta pada 2024, hasil daripada pembalikan peruntukan hapus kira inventori berjumlah RM30.20 juta.
Berdasarkan perkembangan tersebut, Lembaga Pengarah Ann Joo memutuskan tiada dividen diisytiharkan bagi tahun kewangan 2025 memandangkan faktor ketidaktentuan pasaran dan prestasi kewangan semasa.
"Dari segi kedudukan kewangan, jumlah pinjaman kumpulan ini berkurangan kira-kira 9.15% kepada RM1.29 bilion berbanding sebanyak RM1.42 bilion dicatatkan pada tahun sebelumnya," tambahnya lagi.
Nisbah gear atau hutang bersih syarikat berkenaan jelasnya, namun berlaku peningkatan kepada kira-kira 1.73 kali ganda berikutan penyusutan dalam ekuiti pemegang saham kumpulan tersebut sendiri.
Sementara itu, Pengerusi Bukan Eksekutif Kumpulan Ann Joo, Datuk Dr Lim Kiam Lam dalam kenyataan berkata, pelbagai isu semasa dikenal pasti memberi kesan besar kepada pengeluar keluli tempatan.
Antaranya ujar beliau, persekitaran industri terus semakin mencabar serta tekanan perdagangan antarabangsa, termasuk lambakan eksport keluli dari China yang mencapai rekod paling tinggi.
"Sehubungan itu, melangkah ke hadapan, kami pada ketika ini dalam proses untuk melaksanakan fasa peralihan strategik dengan berusaha keluar daripada perniagaan keluli secara huluan," katanya.
Ini termasuk pada 27 Mac 2026 apabila ia memeterai perjanjian dasar (HOA) dengan Southern Steel Berhad untuk melupuskan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam subsidiarinya, Ann Joo Steel Berhad.
Langkah berkenaan ujar beliau, bagi memberi kumpulan tersebut tumpuan penuh kepada pengembangan segmen perniagaan hiliran yang didapati lebih mampan kepada pendapatan syarikat. - DagangNews.com








