Anak syarikat Ahmad Zaki Resources berdepan dua petisyen gulung tikar, dituntut bayar RM1.78 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Anak syarikat Ahmad Zaki Resources berdepan dua petisyen gulung tikar, dituntut bayar RM1.78 juta

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 13 JulaiAhmad Zaki Resources Berhad (AZRB) menyatakan anak syarikat milik penuhnya, Ahmad Zaki Sdn Bhd (AZSB), menerima dua petisyen gulung tikar daripada dua kontraktor.

 

Kata kumpulan tersebut, tindakan itu berhubung tuntutan berjumlah RM1.78 juta, namun menegaskan isu berkenaan tidak dijangka memberi impak kewangan atau operasi yang signifikan kepada syarikat.

 

Ujarnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, dua petisyen tersebut diterima AZSB pada 10 Julai 2026, masing-masing difailkan oleh Tenaga Nirwana (M) Sdn Bhd dan Muhibbah Engineering (M) Bhd.

 

"Petisyen pertama melibatkan tuntutan RM1.461 juta bagi kerja-kerja dilaksanakan di bawah projek Jambatan Sungai Kuantan, East Klang Valley Expressway (EKVE) serta MRT Laluan V6," jelas AZRB.

 

Sementara petisyen kedua membabitkan tuntutan RM319,901.89 berkaitan kerja-kerja di bawah Projek Mass Rapid Transit Laluan 2 Sungai Buloh–Serdang–Putrajaya (SSP), khususnya bagi pakej MRTV202.

 

Bagaimanapun kumpulan itu menjelaskan AZSB bukan subsidiari utama kumpulan, dan tidak menjangkakan sebarang kesan material terhadap prestasi kewangan atau operasi akibat tindakan undang-undang.

 

Menurut AZRB, selain yuran guaman dan perbelanjaan berkaitan prosiding, kumpulan tersebut turut tidak menjangka akan menanggung kerugian tambahan yang berpunca daripada petisyen berkenaan.

 

"Kami sedang mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pihak yang memfailkan petisyen bagi mencapai penyelesaian harmoni, selain kekal optimis isu berkenaan dapat diselesaikan secara baik," katanya.

 

Syarikat turut menjelaskan kelewatan pengumuman kepada Bursa Malaysia kerana ia sedang menjalankan rundingan dengan niat baik bersama pihak-pihak terbabit bagi mencari penyelesaian secara muafakat.

 

Tambah AZRB, jumlah kos pelaburannya dalam AZSB adalah RM165.3 juta, dan tindakan undang-undang itu tidak mengubah pendirian lembaga yang kes dapat ditangani tanpa menjejaskan kedudukan kumpulan. - DagangNews.com