Anak pengasas Widad Group, Isyraf dilantik sebagai pengarah eksekutif | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Anak pengasas Widad Group, Isyraf dilantik sebagai pengarah eksekutif

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 16 Julai – Widad Group Bhd melantik Isyraf Widad iaitu anak kepada pengasas dan pemegang saham kawalan syarikat itu, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat, sebagai pengarah eksekutif berkuat kuasa serta-merta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan pembinaan dan pengurusan fasiliti bersepadu itu memaklumkan Isyraf, 31, memegang jawatan berkenaan selepas berkhidmat sebagai pengarah eksekutif Widad Skycore (M) Sdn. Bhd. sejak 2020 dan pengarah Helang Harmoni Sdn. Bhd. sejak 2024.

 

Isyraf ialah anak kepada Muhammad Ikmal yang sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Pengerusi Eksekutif Widad Group dari Julai 2024 sehingga meletakkan jawatan pada 22 Jun lalu.

 

Muhammad Ikmal kini memiliki pegangan langsung sebanyak 0.057% dan pegangan tidak langsung sebanyak 13.714% dalam Widad Group.

 

Tengku Shaifuddin terajui Lembaga Pengarah

Dalam perkembangan berasingan, syarikat itu turut melantik Datuk Tengku Shaifuddin Tengku Jamaluddin sebagai pengerusi bukan bebas bukan eksekutif berkuat kuasa hari ini.

 

Beliau mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam sektor perlombongan, pelaburan, pengurusan korporat dan penyelidikan.

 

Tengku Shaifuddin memulakan kerjaya sebagai eksekutif di Petronas Carigali Sdn. Bhd. pada 1993 sebelum menyertai DRB-Hicom Bhd sebagai pengurus dari 1998 hingga 2001. Beliau kemudian dilantik sebagai pengerusi S.I. Design Sdn. Bhd. bagi tempoh 2002 hingga 2006.

 

Beliau juga merupakan ahli Lembaga Pengarah Widad International Ltd yang berpangkalan di London, dengan peranan membantu lembaga syarikat menetapkan objektif korporat serta merangka hala tuju strategik kumpulan.

 

Nor Azlan dilantik sebagai pengarah urusan

Pada masa sama, Widad Group turut mengumumkan pelantikan Nor Azlan Zainal sebagai pengarah urusan berkuat kuasa hari ini.

 

Nor Azlan memulakan kerjayanya di Ernst & Young sebelum diterima sebagai ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA).

 

Beliau kemudiannya menyertai Guolene Paper Products Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat Hong Leong Group, sebagai akauntan pada 1997 sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Golden Pharos Bhd. pada 1998.

 

Pada 2018, beliau menyertai Widad Business Group Sdn. Bhd. sebagai CFO Kumpulan.

 

Ketika ini, Nor Azlan turut berkhidmat sebagai pengarah bebas bukan eksekutif serta pengerusi Jawatankuasa Audit dan Jawatankuasa Pengurusan Risiko dan Kemampanan Mikro MSC Bhd.

 

Sementara itu, saham Widad Group ditutup tidak berubah pada 1.5 sen semalam, sekali gus memberikan kumpulan itu nilai pasaran sebanyak RM46.82 juta. - DagangNews.com