KUALA LUMPUR 27 Nov – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut tropika, hujan berterusan dan keadaan laut bergelora yang dijangka melanda 10 negeri mulai hari ini hingga Sabtu (27–29 November).
MetMalaysia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, negeri yang terlibat ialah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka serta Johor.
Menurut MetMalaysia, pemantauan rapi sedang dilakukan bagi menilai pergerakan ribut tropika berkenaan serta potensi impak berterusan terhadap sektor ekonomi, logistik, perikanan dan perladangan di kawasan terjejas.
“MetMalaysia akan terus memantau perkembangan ribut tropika itu dan mengemas kini maklumat berdasarkan keadaan semasa,” menurut kenyataan tersebut.
Orang ramai dan penggiat industri turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta mengikuti ramalan dan amaran cuaca terkini melalui laman web MET Malaysia, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi serta talian hotline 1-300-22-1638.
Terdahulu, MetMalaysia memaklumkan ribut tropika Senyar dikesan pada kedudukan utara Sumatera dan 102 kilometer (km) ke barat daya Lumut, Perak, sebelum bergerak ke arah timur Tenggara memasuki perairan Selat Melaka dan menuju ke barat Semenanjung dengan kelajuan sekitar 24 km/jam.
Pergerakan tersebut berpotensi mencetuskan hujan lebat berterusan, angin kencang serta laut bergelora di beberapa negeri Pantai Barat dan Tengah Semenanjung bermula 27 November (hari ini).
Situasi ini dijangka memberi kesan langsung kepada operasi pelabuhan, sektor perkapalan, aktiviti perikanan, serta rantaian bekalan logistik darat terutama di negeri-negeri berisiko tinggi sepanjang tempoh amaran berkuat kuasa. - DagangNews.com








