Alliance Bank, AQ Energy bekerjasama perluas projek tenaga bersih bernilai RM100 juta untuk PKS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Alliance Bank, AQ Energy bekerjasama perluas projek tenaga bersih bernilai RM100 juta untuk PKS

Gambar hiasan
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Nov – Alliance Bank Malaysia Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan AQ Energy bagi memperluas penyelesaian tenaga solar dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara.

 

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pihak berkata, kolaborasi itu akan membolehkan PKS menyimpan lebihan tenaga solar yang dijana pada waktu siang untuk digunakan pada waktu malam, sekali gus membantu dalam menampung permintaan elektrik pada waktu puncak semasa operasi pengeluaran.

 

Melalui MoU tersebut, AQ Energy akan menyediakan kepakaran teknikal dalam pelaksanaan solar dan bateri manakala Alliance Bank akan menawarkan kemudahan pembiayaan bagi membantu syarikat yang ingin beralih kepada sistem tenaga yang lebih bersih dan cekap.

 

Kerjasama strategik itu menyasarkan pembangunan, pelaksanaan dan pembiayaan projek tenaga solar dan BESS bersepadu dengan jumlah kapasiti sehingga 30 megawatt (MW) dan nilai projek keseluruhan dianggarkan mencecah RM100 juta.

 

Ketua Pegawai Kelestarian Alliance Bank, Roy Heong berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada Program Impak Kelestarian (Sustainability Impact Programme, SIP) bank tersebut yang menyokong pelanggan dalam usaha peralihan mereka ke arah amalan hijau.

 

“Melalui kerjasama dengan AQ Energy, kami bukan sahaja menawarkan pembiayaan, tetapi juga kepakaran teknikal untuk membantu pelanggan melaksanakan projek tenaga boleh diperbaharui yang memberi impak positif kepada persekitaran,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AQ Energy, Hatim Salleh berkata, kerjasama dengan Alliance Bank akan memperkukuh akses kepada penyelesaian tenaga solar fotovolta (PV) dan bateri bagi pelanggan kediaman, komersial serta industri.

 

Katanya, gabungan kepakaran teknikal AQ Energy dan kemudahan pembiayaan daripada Alliance Bank dijangka mempercepatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia, sejajar dengan agenda negara ke arah pelepasan karbon sifar bersih. - DagangNews.com