Aktiviti pengguna dijangka meningkat pada 2025 disokong perbelanjaan domestik berdaya tahan - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aktiviti pengguna dijangka meningkat pada 2025 disokong perbelanjaan domestik berdaya tahan - penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 April — Aktiviti pengguna dijangka meningkat pada 2025, disokong oleh perbelanjaan domestik berdaya tahan dan peningkatan berterusan aktiviti runcit, walaupun berdepan tekanan potensi pembaharuan subsidi bahan api dan tarif elektrik.


Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan indeks perdagangan pengedaran (DTI) berkembang 3.9 peratus tahun ke tahun (y-o-y) pada Februari 2025 untuk mencapai 157.1 mata iaitu peningkatan kecil daripada kenaikan 3.8 peratus y-o-y pada Januari 2025.


Jualan perdagangan pengedaran meningkat kepada 5.1 peratus y-o-y berjumlah RM148.3 bilion, berbanding 4.6 peratus pada bulan sebelumnya. Indeks susut 0.6 peratus bulan ke bulan (m-o-m) disebabkan hari bekerja yang sedikit, namun trend kekal menggalakkan.


TA Securities menyatakan, pertumbuhan yang mampan dalam DTI menunjukkan bahawa perbelanjaan peribadi akan kekal sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama (1Q25).


Firma penyelidikan tersebut menjangkakan penggunaan swasta berkembang sebanyak 4.5 peratus y-o-y pada 1Q25, disumbangkan oleh peningkatan perbelanjaan berkaitan percutian semasa perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri.


“Secara keseluruhan, penggunaan swasta dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia, dengan unjuran pengembangan sebanyak 5.5 peratus pada 2025 berbanding hanya 5.1 peratus tahun lepas,” katanya dalam nota kajian.


Ia turut merujuk kepada pasaran buruh yang berdaya tahan, pertumbuhan pendapatan yang stabil dan pengekalan kadar inflasi sebagai pemboleh utama.


BIMB Securities juga mengunjurkan pertumbuhan kukuh dalam aktiviti pengguna di Malaysia, dengan meramalkan perdagangan runcit berkembang sebanyak 6.6 peratus pada 2025.


“Kami menjangka pertumbuhan berterusan penggunaan domestik, disokong oleh pemindahan tunai kerajaan, fasa pertama semakan gaji kakitangan awam berkuat kuasa sejak Disember 2024, dan kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan,” katanya.


Keadaan pasaran buruh yang positif kata firma penyelidikan itu, turut mengukuhkan lagi trend ini terutamanya, kadar pengangguran berada 3.1 peratus pada Februari 2025, paras terendah dalam satu dekad, mencerminkan dinamik pasaran buruh kukuh.


Sentimen pengguna yang optimis ini katanya, dijangka mengalir pula ke sektor perdagangan pengedaran yang lebih luas.


Justeru, BIMB Securities menjangkakan jualan perdagangan pengedaran berkembang enam peratus pada 2025, merangkumi kenaikan 7.4 peratus dalam jualan kenderaan bermotor, lima peratus dalam perdagangan borong dan 6.6 peratus dalam perdagangan runcit.


Sementara itu, TA Securities menekankan, momentum perbelanjaan boleh mendapat manfaat peningkatan tambahan daripada kesan jawatan Pengerusi ASEAN disandang Malaysia tahun ini.


Perbelanjaan pengguna juga berkemungkinan menerima rangsangan tambahan daripada gaji penjawat awam yang lebih tinggi, kenaikan upah minimum dan peningkatan ketibaan pelancong, dijangka memanfaatkan sektor runcit, makanan dan minuman selain riadah.


“Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, ia boleh menjadi pemangkin tambahan, menarik lebih banyak aktiviti perniagaan, acara antarabangsa, dan peningkatan perbelanjaan, terutamanya di pusat bandar serta industri berkaitan hospitaliti,” katanya.


Bagaimanapun kata firma penyelidikan tersebut berkata, beberapa risiko penurunan mungkin menjejaskan pandangan berkenaan.


BIMB Securities turut memberi amaran, sektor pengguna mungkin menghadapi masalah akibat penyasaran semula subsidi petrol RON95 dan cadangan kenaikan tarif elektrik, yang boleh meningkatkan kos sara hidup dan melemahkan sentimen pengguna.


“Pelaksanaan reformasi subsidi yang terancang dan beransur-ansur boleh mengurangkan kesannya dan membantu mengekalkan momentum perbelanjaan,” katanya.


TA juga menandakan potensi risiko daripada rasionalisasi subsidi RON95 yang kekal sebagai risiko penurunan utama, kerana kos bahan api yang lebih tinggi boleh menghakis pendapatan boleh guna dan membebankan perbelanjaan mengikut budi bicara.


"Walaupun risiko tekanan inflasi berterusan disebabkan oleh kejutan bekalan yang berpotensi, membenarkan harga bahan api terapung di tengah-tengah ketidaktentuan itu akan diragui," katanya.


Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata bahawa asas-asas yang kukuh harus menyediakan 'kusyen' terhadap sebarang kejutan.


“Selain itu, sokongan kerajaan yang berterusan melalui bantuan tunai disasarkan, pertumbuhan gaji berterusan, dan pasaran buruh berdaya tahan seharusnya memberikan penampan terhadap tekanan kos ini,” kata BIMB Securities. - DagangNews.com