KUALA LUMPUR 20 Mei — Airbus Helicopters komited menawarkan helikopter ketenteraan pelbagai peranan, H225M dan sistem udara tanpa pemandu (UAS) bagi memenuhi segala keperluan pertahanan dan keselamatan Malaysia.
Syarikat pengeluar antarabangsa itu turut menegaskan komitmen untuk memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapat akses kepada pesawat yang boleh dipercayai serta keupayaan program latihan secara berkualiti.
Naib Presiden serta Ketua Jualan dan Pemasaran Asia-Pasifik Airbus Helicopters, Thomas Zeman berkata, landskap pertahanan Malaysia sedang berubah, dengan permintaan semakin tinggi termasuk untuk tujuan operasi khas.
"Ia juga sesuai bagi pencarian dan penyelamatan tempur, pengangkutan taktikal serta keupayaan latihan khusus. Helikopter kami terbukti dalam pertempuran dengan kejayaan dalam operasi dan persekitaran mencabar,” katanya.
Bercakap pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA), Airbus katanya, telah menjual lebih 180 unit ke seluruh dunia dan 40 dalam tempahan dengan model H225M kekal aset penting misi ketenteraan.

Penggunaan meluas pesawat itu kata Zeman, membuktikan kejayaan helikopter Airbus sebagai pengganda kuasa yang membolehkan operasi pantas dalam semua keadaan cuaca dengan turut sesuai untuk pelbagai misi awam.
Di Malaysia tambahnya, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengoperasikan 12 unit H225M, yang secara konsisten menunjukkan tahap kebolehpercayaan dalam pelbagai latihan ketenteraan, usaha kemanusiaan, dan bantuan bencana.
Dengan hampir 40,000 jam penerbangan terkumpul, pengoperasian cemerlang oleh TUDM baru-baru ini diiktiraf melalui anugerah Wings of Valour, yang menekankan peranan pentingnya dalam misi ihsan di Malaysia dan rantau ASEAN.
Airbus katanya, melihat potensi besar perluasan jumlah helikopter H225M dalam armada ATM bagi meningkatkan keberkesanan operasi dengan TUDM membuktikan tahap kesiapsiagaan model tersebut sepanjang 13 tahun lalu.
"Seiring cabaran keselamatan terus berkembang, H225M kekal tidak ternilai, membolehkan tindak balas pantas dalam misi berisiko tinggi. Keupayaannya terbukti ketika medan tempur dan prestasi semua keadaan cuaca," tambahnya.

Selain itu kata Zeman, Airbus memajukan keupayaan UAS menerusi Flexrotor, sebuah sistem udara tanpa pemandu yang mampu berlepas dan mendarat secara menegak (VTOL) serta menawarkan ketahanan sehingga 14 jam.
Ini termasuk misi pengawasan perisikan, pemerolehan dan pengecaman sasaran (ISTAR), pencarian dan penyelamatan, penguatkuasaan undang-undang, serta rondaan sempadan yang terbukti dengan 3,700 jam penerbangan tanpa GPS.
Model itu katanya, merupakan aset ideal landskap keselamatan dan pertahanan Malaysia yang berubah malah Airbus giat melabur dalam rumusan termaju menghubungkan helikopter dengan UAS bagi meningkatkan keberkesanan operasi.
Dengan asas kukuh dalam bidang penerbangan pertahanan dan keselamatan, Airbus berada di posisi baik untuk menyokong keperluan operasi Malaysia terutama persekitaran yang mencabar dan sentiasa berkembang.
"Seiring adaptasi berterusan angkatan pertahanan, Airbus kekal komited sepenuhnya dalam menyampaikan teknologi terkini dan rumusan sedia-misi demi keberkesanan secara berterusan," kata Zeman. - DagangNews.com








