AirAsia X lancar penerbangan terus Kuala Lumpur–Istanbul, sasar 150,000 tempat duduk setahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia X lancar penerbangan terus Kuala Lumpur–Istanbul, sasar 150,000 tempat duduk setahun

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 18 NovAirAsia X (AAX) melakar pencapaian penting apabila melancarkan penerbangan terus sulung dari Kuala Lumpur ke Istanbul, sekali gus menandakan kemasukan rasmi syarikat itu ke pasaran Türkiye dan perluasan rangkaian antarabangsanya.

 

Penerbangan sulung D7 604 berlepas dari KLIA Terminal 2 pada 14 November 2025 pada jam 9.35 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen pada 4.05 petang waktu tempatan.

 

Laluan baharu ini membuka akses langsung antara Malaysia dan pusat budaya serta ekonomi paling pesat di dunia.

 

Menurut AirAsia X, laluan ini akan dioperasikan empat kali seminggu, menyediakan lebih 150,000 tempat duduk setahun, menjadikannya antara pelancaran rangkaian terbesar syarikat itu bagi tahun 2025 hingga 2026.

 

Pengerusi Eksekutif Capital A, Datuk Kamarudin Meranu berkata, laluan baharu tersebut merupakan langkah pertumbuhan strategik yang menepati permintaan pasaran.

 

“Türkiye mempunyai potensi besar dari segi pelancongan dan perniagaan. Laluan ini adalah sebahagian strategi syarikat memperkukuh hubungan antara Asia Tenggara dan Eurasia,” katanya dalam kenyataan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, Istanbul merupakan destinasi yang sangat tinggi permintaannya dalam kalangan pelanggan AAX.

 

“Ia membuka jambatan penting antara Asia Tenggara dan Eropah, sekali gus menjadikan bandar tumpuan pelancongan dan perniagaan Türkiye lebih mudah dicapai oleh rakyat Malaysia dan negara ASEAN,” ujarnya.

 

Duta Besar Republik Türkiye ke Malaysia, His Excellency Emir Salim Yüksel berkata, sambungan baharu itu akan mengukuhkan hubungan dua hala serta memperluas rangkaian global kedua-dua negara.

 

Istanbul, yang merentangi dua benua melalui Selat Bosphorus, terus muncul sebagai destinasi tumpuan dunia. 

 

Dengan mercu sejarah seperti Hagia Sophia, Masjid Biru dan Istana Topkapi, bandar itu turut terkenal sebagai hab pelancongan halal yang menarik minat pengembara dari Malaysia dan rantau ini.

 

Bagi menarik penumpang awal, AAX menawarkan tambang sehala bermula daripada RM749 atau USD205, manakala tambang promosi boleh didapati hingga 30 November 2025 untuk perjalanan sehingga 14 September 2026 melalui airasia.com dan aplikasi AirAsia MOVE. - DagangNews.com