KUALA LUMPUR 4 Jun — Ahmad's Fried Chicken bersedia untuk menambah lagi sejumlah 36 buah cawangan baharu yang dirancang dalam rangkaian premis jualan ayam gorengnya di seluruh negara sepanjang tahun ini.
Pengasas dan Pengarahnya, Taufik Khairuddin berkata, setakat enam bulan pertama pada tahun ini, ia telah pun berjaya membuka sebanyak 30 outlet yang merangkumi empat restoran, lima restoran mini serta 21 kiosk.
Tambah beliau, buat masa sekarang, premis tersebut beroperasi di Cyberjaya, Selangor serta Perak, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan dan Terengganu dengan paling baharu dirasmikan di Setiawangsa, Kuala Lumpur.
"Langkah ini diambil susulan sambutan luar biasa daripada para pelanggan terhadap set ayam goreng, burger dan hidangan tambahan sejak pembukaan kedai pertama pada Disember 2024," katanya dalam kenyataan.
Taufik menambah, syarikat Mad Bean Holdings Sdn Bhd selaku pengendali outlet ini menerusi strategi Pelan 5 Tahun yang berhemah, beriltizam tinggi untuk memperluaskan lagi kehadiran Ahmad’s Fried Chicken.
Usaha jangka panjang itu kata beliau, termasuk ke beberapa pekan kecil dan bandar dengan inisiatif tersebut bertujuan menyegerakan tawaran sajian menu warisan nostalgia yang dinanti-nantikan rakyat.
"Rangkaian restoran kami menyediakan lebih 400 tempat duduk manakala kiosk fokus kepada jualan bawa pulang dengan hidangan mencerminkan perpaduan, tradisi dan cita rasa bersama masyarakat kita," katanya.

Seiring keyakinan pelanggan terhadap jenama, kualiti menu dan perkhidmatan kru di premis Ahmad’s Fried Chicken, pihaknya komited meneruskan pertumbuhan dengan membuka 36 outlet dalam tempoh enam bulan.
Pertambahan premis baharu itu meliputi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan serta Sabah dan Sarawak sehingga akhir tahun ini.
"Kami berpegang teguh dengan slogan 'Jenama Kita, Rasa Kita, Semangat Kita' menerusi sajian 24 menu berkualiti, suasana mesra pelanggan dan kecekapan kru yang sesuai bagi penyatuan rakyat," kata Taufik.
Mad Bean tambahnya, turut ada inisiatif perkongsian perniagaan untuk memberi peluang ramai usahawan memiliki perniagaan jenama ayam goreng tempatan warisan Ahmad’s kepada pelanggan di seluruh Malaysia.
Berdasarkan semangat dan prinsip itu, pihak pengurusan membuka ruang serta peluang kepada sesiapa yang ingin menjadi rakan niaga kami seiring dengan Pelan 5 Tahun yang dirancang mereka sendiri.
"Ini termasuk cadangan pembukaan outlet Ahmad’s Fried Chicken di luar negara, antara yang telah dikenal pasti setakat ini ialah di Makkah dan Madinah, Arab Saudi dalam masa terdekat," jelas beliau.
Bersempena pelancaran restoran keempat dan outlet ke-30 rangkaian itu hari ini telah dirasmikan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, yang terletak di Jalan Setiawangsa 10, Taman Setiawangsa. - DagangNews.com








