KUALA LUMPUR 25 Feb — AGAPE ATP Corporation (ATPC) menandatangani Perintah Pembelian Korporat Tidak Boleh Dibatalkan (ICPO) dengan Swiss One Oil & Gas AG bagi perkongsian strategik untuk meningkatkan operasi penjualan serta pembelian minyak dan gas.
Pemeteraian kerjasama itu menyaksikan ATPC, sebuah firma pelaburan tempatan yang tersenarai di Pasaran Modal NASDAQ sejak 2023, bakal memperoleh kira-kira 200,000 tan metrik diesel jenis EN590 10PPM dan dua juta tong Jet Fuel A1 untuk fasa percubaan awal.
Menurut kenyataan ATPC, kerjasama ini menghimpunkan kepakarannya dalam strategi bisnes mampan dan perdagangan global dengan pengalaman luas Swiss One dalam sektor minyak dan gas, sambil mampu mengukuhkan kedudukan mereka dalam pasaran tenaga.
Swiss One, yang berpangkalan di Pfäffikon, Switzerland, mengkhususkan perdagangan global produk minyak dan gas yang unik bahkan kerjasama itu membolehkan syarikat ini meningkatkan operasinya sambil mendapat manfaat rangkaian luas dan strategik ATPC.
Sementara ATPC, yang beribu pejabat di Faber Towers, Kuala Lumpur, telah membina reputasi sebagai peneraju dalam kesihatan dan kesejahteraan, tenaga boleh diperbaharui, perundingan perdagangan global, serta terus berkembang dalam industri pertumbuhan tinggi.
"Pemeteraian ICPO ini juga sejajar dengan visi kemampanan dan inovasi ATPC untuk terus mengoptimumkan kecekapan rantaian bekalan dan menyepadukan teknologi termaju malah perkongsian itu direka bentuk bagi mewujudkan kecekapan lebih tinggi," katanya.
Ini jelasnya, meliputi aspek perolehan, penjualan dan pengedaran produk petroleum ditapis, termasuk EN590 10PPM diesel dan Jet Fuel A1 dengan ATPC menyediakan sokongan perundingan strategik manakala Swiss One bersedia mengembangkan keupayaan dagangan.
Perjanjian berkenaan ujar kenyataan tersebut, memastikan penghantaran produk minyak dan gas yang tepat pada masa dan kos efektif kepada pelanggannya malahan merupakan langkah besar ke hadapan dalam strategi kepelbagaian jangka panjang ATPC sendiri.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Global ATPC, Prof Datuk Seri Dr How Kok Choong menyatakan keyakinan terhadap perkongsian itu, dengan berkata: “Perkongsian ini bakal mengukuhkan lagi peranan kami dalam perniagaan sektor tenaga global.
"Kami apabila bekerjasama dengan Swiss One, bukan sahaja mengoptimumkan perolehan minyak dan gas tetapi memacu inovasi, kecekapan dan kemampanan dalam rantaian bekalan malah memberi tumpuan kepada objektif utama yang memacu kejayaan dua syarikat."
Melalui perkongsian sumber secara bersama jelas beliau, ATPC dan Swiss One akan dapat menyelaraskan operasi rantaian bekalan, memastikan logistik yang lebih baik dan seterusnya tahap keupayaan proses penghantaran boleh dipertingkatkan secara cekap.
Kok Choong menambah, penyepaduan teknologi canggih seperti sistem automatik untuk pengurusan inventori bekalan, pemprosesan pesanan stok dan penjejakan penghantaran secara masa nyata juga akan meningkatkan lagi kecekapan operasi dengan ketara. - DagangNews.com








