Aeon Bank tingkatkan keselamatan aplikasi perbankan digital dengan pengenalan Mobile Security Platform | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aeon Bank tingkatkan keselamatan aplikasi perbankan digital dengan pengenalan Mobile Security Platform

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 18 Feb - Bank digital Islam pertama di Malaysia, Aeon Bank, menaik taraf ciri-ciri keselamatannya dengan memperkenalkan Mobile Security Platform (MSP), satu bentuk teknologi perlindungan terkini untuk aplikasi mudah alihnya.

 

Inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen Aeon Bank untuk meningkatkan keselamatan aplikasi perbankan digital demi melindungi data pelanggan.

 

MSP Aeon Bank berfungsi dengan memantau potensi ancaman dan perisian hasad, serta mengambil langkah proaktif bagi memastikan integriti aplikasi perbankan digitalnya.

 

Jika sesebuah peranti penggina dikesan akibat digodam, rooting, atau diubah suai dari segi perisian atau aplikasinya, yang boleh membolehkan pihak luar memintas langkah-langkah keselamatan asal peranti, maka pengguna akan diberi amaran.

 

Selain itu, akses kepada aplikasi Aeon Bank akan dihentikan sementara untuk mencegah risiko keselamatan.

 

Langkah keselamatan itu dilaksanakan bagi mencegah kecurian data, pelanggaran keselamatan, serta risiko akses tanpa kebenaran.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Aeon Bank (M) Berhad, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata, perlindungan data pelanggan adalah keutamaan Aeon Bank sebagai sebuah bank digital sepenuhnya.

 

"Teknologi perlindungan MSP memainkan peranan penting dalam memberikan pengalaman perbankan digital yang selamat dan dipercayai.

 

"Kami akan terus memastikan pelanggan dapat menggunakan aplikasi Aeon Bank dengan selamat dan penuh yakin," katanya dalam satu kenyataan.

 

Melalui fungsi berkenaan, Aeon Bank tidak mengumpul, memproses atau menyimpan sebarang maklumat peribadi daripada peranti pelanggan.

 

Sebaliknya, pendekatan berlapis itu membolehkan perlindungan seperti pengesanan dan pemberitahuan ancaman, panduan penyelesaian dan akses semula yang selamat.

 

Setelah satu-satu masalah diselesaikan, pelanggan boleh memuat turun semula aplikasi Aeon Bank untuk menggunakan kembali perkhidmatan perbankan digital dengan selamat.

 

Walaupun Aeon Bank melancarkan teknologi terkini bagi melindungi pelanggannya, orang ramai digalakkan untuk mengambil langkah-langkah keselamatan.

 

Antaranya, menyemak kebenaran aplikasi secara berkala pada peranti, memantau penggunaan data bagi mengesan sebarang peningkatan bil telefon yang luar biasa atau tidak dijangka serta memeriksa baki akaun dan penyata dengan kerap atau laporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada Khidmat Pelanggan Aeon Bank dengan segera. - DagangNews.com