Adnex Group sasar kumpul RM18.1 juta melalui IPO di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Adnex Group sasar kumpul RM18.1 juta melalui IPO di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Feb – Adnex Group Berhad menyasarkan untuk mengumpul RM18.1 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia. 

 

IPO ini melibatkan 90.5 juta saham pada harga RM0.20 sesaham dan dijangka menjadi pemangkin kepada pengembangan operasi syarikat dan peningkatan kehadiran serantau.

 

Adnex, melalui subsidiari utamanya Adnex Interior Solution Sdn. Bhd., telah lebih dua dekad menyediakan perkhidmatan hiasan dalaman termasuk reka bentuk dan pengurusan projek untuk pejabat korporat, restoran dan galeri jualan.

 

Dana IPO dijangka digunakan untuk memperkukuh kapasiti operasi dan menyokong strategi pengembangan syarikat.

 

Sebanyak RM6.40 juta diperuntukkan untuk pembukaan pejabat cawangan baharu di Malaysia dan peluasan ke pasaran antarabangsa serta peningkatan infrastruktur digital.Selain itu, RM3 juta diperuntukkan bagi bon prestasi projek sedia ada dan bakal datang, manakala RM1.2 juta akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank.

 

Keperluan modal kerja syarikat dianggarkan sebanyak RM3.9 juta dan RM3.6 juta diperuntukkan bagi menampung kos penyenaraian di Bursa Malaysia.

 

Pengarah Urusan Adnex Group Berhad, Kan Wai Chun berkata pelancaran prospektus adalah permulaan penting syarikat ke arah pengurusan yang lebih profesional dan pertumbuhan mampan.

 

“IPO ini akan memberi syarikat sumber kewangan untuk meningkatkan keupayaan pelaksanaan projek, melabur dalam peralatan dan teknologi canggih, serta memperkukuh kehadiran di Sabah, Sarawak dan pasaran antarabangsa terpilih,” katanya.

 

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Public Investment Bank Berhad, Lee Yo-Hunn berkata permintaan terhadap ruang pejabat yang efisien dan reka bentuk berkualiti semakin meningkat, menjadikan kepakaran Adnex semakin relevan.

 

Menurut laporan Providence Strategic Partners Sdn. Bhd, industri ini dijangka semakin berkembang di Malaysia kepada RM2.7 bilion menjelang 2027, dengan kadar pertumbuhan tahunan 8.3 peratus antara 2025 hingga 2027.

 

Pertumbuhan ini disokong oleh peningkatan hartanah komersial dan industri, perkembangan sektor pengguna akhir, serta pelaburan domestik dan asing yang berterusan.

 

Permohonan bagi tawaran awam dibuka pada 26 Februari 2026 dan akan ditutup pada 5 Mac 2026. 

 

Syarikat dijangka disenaraikan pada 17 Mac 2026 dengan anggaran permodalan pasaran sebanyak RM100 juta.

 

Dengan penyenaraian ini, Adnex berhasrat memperkukuh kedudukannya dalam sektor kemasan dalaman menggabungkan pengalaman lebih 20 tahun dengan kepakaran reka bentuk dan komitmen terhadap pertumbuhan mampan.

 

Public Investment Bank Berhad bertindak sebagai penasihat, penaja, penjamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi IPO ini, memastikan proses penyenaraian berjalan lancar dan teratur. - DagangNews.com