Abu Huraira Abu Yazid dilantik sebagai Pengerusi baharu PIDM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Abu Huraira Abu Yazid dilantik sebagai Pengerusi baharu PIDM

Datuk Abu Huraira Abu Yazid
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Nov – Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) melantik Datuk Abu Huraira Abu Yazid sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah baharu berkuat kuasa 15 November 2025 menggantikan Datuk Sri (Dr) Zukri Samat yang telah bersara daripada barisan Lembaga Pengarah.

 

PIDM dalam satu kenyatan memaklumkan Abu Huraira membawa pengalaman luas dalam sektor awam dan kewangan, termasuk kepakaran dalam operasi perbankan, pengurusan risiko serta tadbir urus kewangan. 

 

“Sebelum ini beliau pernah memegang jawatan penting sebagai Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Pengarah Eksekutif Pos Malaysia Berhad, Ahli Lembaga Pengarah United Overseas Bank (M) Bhd serta Ketua Pegawai Eksekutif Bank Simpanan Nasional.

 

“Beliau kini memegang jawatan sebagai Pengerusi MISC Berhad, Pengerusi Pembangunan Sumber Manusia Berhad dan Pengerusi Malaysian Maritime Academy Sdn. Bhd,” menurut kenyataan tersebut.

 

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Pengurusan Perniagaan) daripada Universiti Malaya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, Rafiz Azuan Abdullah berkata, pelantikan tersebut akan memperkukuh hala tuju strategik dan tadbir urus PIDM dalam melaksanakan mandat untuk menggalakkan kestabilan sistem kewangan negara. 

 

Rafiz turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Sri (Dr) Zukri Samat atas sumbangan dan kepimpinannya sepanjang memegang jawatan sebagai Pengerusi PIDM.

 

Ahli Lembaga Pengarah PIDM kini terdiri daripada:

* Datuk Abu Huraira Abu Yazid (Pengerusi)
* Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour (Gabenor Bank Negara Malaysia) – ex officio
* Datuk Johan Mahmood Merican (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) – ex officio
* Datuk Dr Yacob Mustafa
* Encik Razali Othman
* Datuk Dr Nik Ramlah Mahmood
* Datuk Dr Gan Wee Beng
* Puan Gloria Goh Ewe Gim
* Encik Lee Kong Eng

 

Ditubuhkan pada 2005, PIDM mentadbir Sistem Insurans Deposit (DIS) dan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans (TIPS), serta bertindak sebagai pihak berkuasa resolusi institusi kewangan ahli. 

 

PIDM juga aktif dalam mempromosi literasi kewangan untuk membina masyarakat celik dan berdaya tahan kewangan. - DagangNews.com