KUALA LUMPUR 20 Nov – A1 AK Koh Group Berhad yang baru disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 11 Julai lalu mencatatkan hasil RM20.94 juta bagi tempoh kewangan tiga bulan berakhir 30 September 2025.
Pasaran Malaysia terus menjadi penyumbang utama dengan 82.4% daripada jumlah pendapatan, diikuti Singapura (10.5%) dan pasaran lain seperti Vietnam, China dan Brunei.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat pengeluar makanan dan minuman itu berkata, ia mencatatkan keuntungan kasar RM10.81 juta.
“Perbelanjaan pentadbiran ialah sebanyak RM7.44 juta, sebahagian besarnya disebabkan perbelanjaan IPO manakala perbelanjaan jualan dan pengedaran pula berjumlah RM2.58 juta.
“Syarikat mencatat kerugian bersih sebanyak RM325,000 bagi suku tersebut. Tanpa mengambil kira perbelanjaan ‘one-off’ IPO itu, syarikat mencatat keuntungan bersih yang diselaraskan sebanyak RM4.07 juta,” katanya dalam makluman tersebut.
Syarikat juga mengumumkan dividen interim sebanyak 0.18 sen sesaham, bernilai kira-kira RM1.51 juta, dijangka dibayar pada 9 Januari 2026 kepada pemegang saham berdaftar pada 10 Disember 2025.
Ditubuhkan pada 1986, A1 AK Koh menghasilkan lebih 340 produk makanan diproses termasuk snek, mi, perisa, makanan laut dalam tin dan minuman.
Ia turut terlibat dalam pengilangan kontrak serta membekalkan produk kepada jenama pihak ketiga.
Produk syarikat dikeluarkan di kilangnya di Senai dan Long An, Vietnam dan dieksport ke lebih 10 negara.
Dalam pada itu, , A1 AK Koh berkata, ia baru sahaja melancarkan Curry Laksa Noodle dan SJ Crab Vermicelli in White Soup, yang dijangka menyumbang kepada jualan syarikat.
“Selain itu, 43 produk syarikat disenaraikan di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang dijangka menyokong permintaan bagi produk teras syarikat,” katanya.
Mengulas prospek, pengurusan syarikat menyasarkan pertumbuhan melalui strategi pengedaran pelbagai saluran, kerjasama rapat dengan pengedar dan peruncit, serta peluang pengembangan ke pasaran terpilih di luar negara.
Aktiviti promosi menjelang perayaan Tahun Baru Cina dijangka menyokong prestasi jualan suku akan datang, manakala kawalan kos dan pengurusan kewangan yang berdisiplin kekal menjadi fokus utama.- DagangNews.com








