KUALA LUMPUR 15 Okt – Meskipun gaji meningkat, majoriti rakyat Malaysia masih berdepan kesukaran menampung kos hidup yang semakin tinggi.
Satu laporan penyelidikan yang diterbitkan Central Force International mendapati 77% rakyat Malaysia masih bergelut dengan perbelanjaan harian, menunjukkan jurang yang semakin melebar antara pertumbuhan gaji dan kuasa beli sebenar.
Laporan Trend Pengguna Malaysia 2025 itu juga mendedahkan 55% rakyat negara ini mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.
Ketua Pegawai Eksekutif Central Force International, See Toh Wai Yu berkata, situasi ini menyebabkan ibu bapa terpaksa merancang setiap perbelanjaan dengan lebih teliti, pekerja muda perlu menangguhkan impian hidup tertentu dan golongan pesara menggunakan simpanan hanya untuk menampung keperluan harian mereka.
“Keadaan diburukkan lagi dengan kenaikan kos makanan dan minuman sebanyak 17.5% sejak tahun 2020 iaitu hampir dua kali ganda kadar kenaikan barangan lain.
“Walaupun kerajaan menetapkan gaji minimum baharu pada RM1,700, laporan itu mendedahkan 63% rakyat Malaysia mengakui langkah itu tidak banyak meringankan kos harian meraka, manakala lebih separuh melaporkan tiada kenaikan gaji sama sekali,” katanya.
Tekanan kewangan ini paling dirasai dalam kalangan keluarga B40 dan M40 dengan pendapatan isi rumah di bawah RM5,000.
Beliau berkata, golongan itu terpaksa membuat pilihan sukar setiap kali berbelanja barangan keperluan di pasar raya, membeli petrol dan merancang hidangan keluarga namun pada masa sama masih berusaha membuat simpanan.
“Kenaikan harga ini membuatkan rakyat berasa terhimpit kerana pendapatan terhad dan simpanan pula sangat sedikit,” katanya.

Bagaimanapun, laporan itu mendedahkan rakyat Malaysia masih membeli barangan bukan keperluan dengan kaedah tertentu yang lebih strategik.
Contohnya, mereka menunggu untuk membuat pembelian pada waktu promosi, memilih jenama yang lebih murah, atau menilai kualiti produk terlebih dahulu supaya setiap ringgit dibelanjakan dengan berkesan.
“28.8% membuat pembelian besar dalam tempoh enam bulan lepas, manakala 38% merancang berbuat demikian tidak lama lagi.
“Bagi mereka yang bergantung pada bantuan kerajaan, wang itu digunakan terutamanya untuk membeli makanan dan membayar hutang,” katanya.
Dari sudut perniagaan pula, beliau berkata, rakyat Malaysia kini semakin mementingkan sama ada satu-satu produk atau perkhidmatan itu berbaloi untuk dimiliki.
“Perniagaan yang berjaya ialah yang menawarkan penyelesaian praktikal dalam kehidupan harian, berkualiti dan paling diperlukan,” katanya.
Central Force International, yang menerbitkan laporan ini, adalah agensi penyelidikan pasaran tempatan yang telah beroperasi sejak 1996.
Ia menyediakan penyelidikan terperinci mengenai tingkah laku pengguna Malaysia dari segi kos hidup, kelestarian dan keutamaan perbelanjaan. - DagangNews.com








