KUALA LUMPUR 13 Feb — Seramai 200 usahawan Titanium yang terlibat dalam skim bimbingan RichWorks International Sdn Bhd berjaya mencapai jualan RM2.9 bilion sepanjang 2024 iaitu peningkatan 13.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Dalam masa sama menurut Presiden dan Pengasas RichWorks Group, Prof. Datuk Dr. Azizan Osman, lebih 50 usahawan tersebut pula didapati berjaya memperoleh jualan dari RM10 juta sehingga RM500 juta setiap tahun sejak 2021 hingga 2024.
Kejayaan itu ujarnya, berlaku secara konsisten hasil bimbingan dan konsultasi dilaksanakan secara berkala serta berstruktur bagi menyediakan perniagaan mereka mengalami pertumbuhan meskipun ketika persaingan yang semakin kompetitif.
Ketika berucap pada Inner Circle Meeting - Titan Business Leadership Awards 2025 baru-baru ini, beliau merujuk usahawan terlibat menerima tindakan berterusan mengikut panduan dan bimbingan diberikan untuk 'menang' dalam pasaran sengit.
“Alhamdulillah, usahawan-usahawan ini terdiri dari pelbagai industri di Malaysia yang berjaya menjadi pilihan orang ramai. Semua ini tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya dimulakan dengan keinginan dari usahawan itu sendiri," katanya.
Turut hadir ialah Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon dan Pengurus Besar Yayasan Melaka, Datuk Dr Radhuana Salleh serta Pengarah Eksekutif RichWorks, Hasnita Ahmad.
Seramai 224 orang yang terlibat daripada 198 perniagaan mendapat pengiktirafan Richworks atas pencapaian mereka yang berjaya merekodkan prestasi pertumbuhan luar biasa sepanjang 2024.
Bukan itu saja, acara kali ini tampil mencipta kelainan apabila seramai 173 kakitangan ahli Titanium mendapat anugerah atas sumbangan dan komitmen mereka membantu syarikat masing-masing mencapai matlamat yang ditetapkan.
Sementara itu, Azizan juga mengumumkan penubuhan RichWorks Consulting Group Sdn. Bhd. (RCG) sebagai syarikat perundingan strategik untuk usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berpendapatan tinggi di Malaysia.
"RCG ini akan memberi fokus sokongan kepada perniagaan yang sudah mencapai jualan lebih RM1 juta setahun dengan penyelesaian lebih komprehensif dan berimpak tinggi untuk PKS di Malaysia malah rantau ASEAN," katanya.
Penubuhan entiti baharu tersebut juga jelas beliau, merupakan hasil evolusi yang dimulakan daripada peringkat awal RichWorks dalam siri latihan dan bimbingan ramai usahawan PKS di negara ini sejak 2008 lagi.
Melalui syarikat tu, PKS akan disokong pada tahap ‘perluasan’ melalui proses transformasi perniagaan dengan mengoptimumkan operasi dan merangka strategi pertumbuhan mampan melalui pasukan perunding berpengalaman.
Azizan menambah, bidang perkhidmatan RCG merangkumi analisis prestasi operasi dan kewangan, pembangunan model perniagaan berimpak tinggi dan kepimpinan selain kolaborasi dengan agensi kerajaan dan swasta untuk program transformasi PKS.
“Sasaran kami untuk menjadikan RCG sebagai peneraju perundingan PKS terkemuka di ASEAN dalam tempoh lima tahun akan datang. Kami menetapkan pelan lima tahun hingga 2030 untuk membimbing 500 PKS berjaya mencapai jualan lebih RM10 juta,” ujarnya.
Dalam pada itu, RichWorks akan mengadakan program khas, Business Success Bootcamp yang ditaja 100 peratus pada 19 Februari ini untuk mempersiapkan usahawan berdepan sembilan krisis yang dijangka berlaku pada tahun ini. - DagangNews.com








