KUALA LUMPUR 8 Mac - Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Program 'Potong-Royong' yang mana merupakan kempen pemandulan kucing anjuran Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) Selangor bersama Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) Universiti Putra Malaysia (UPM) di Kampung Batu 14, Hulu Langat, hari ini.
Baginda turut berkenan mengunjungi aktiviti seperti pemeriksaan kesihatan kucing, pendidikan penjagaan kucing, kepentingan pemandulan kucing serta vaksinasi sebelum berangkat meninggalkan Dewan Dato' Nazir kira-kira pukul 11.40 pagi tadi.
Sementara itu, Dekan FPV UPM, Prof Datuk Dr Mohd Azmi Mohd Lila berkata, program ini merupakan salah satu inisiatif memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung kepentingan pemandulan kucing serta menyayangi haiwan peliharaan.
Katanya, pemandulan kucing dapat mengelakkan risiko tumor dan barah mamari (kelenjar susu), jangkitan rahim bernanah (pyometra) dan kurang risiko penyakit berjangkit seperti leukemia kucing.
"Kita perlu meningkatkan kesedaran pemandulan kucing ini untuk mengurangkan komplikasi kepada kucing yang berkeliaran tanpa tuan serta salah satu alternatif kawalan populasi kucing kerana ia merupakan sejenis haiwan yang sangat senang membiak.
"FPV UPM juga menyediakan khidmat vaksin dan ubat cacing percuma kepada kucing yang dibawa oleh pengunjung," katanya.
Program yang berlangsung pada 7 hingga 12 Mac 2023 setiap 10 pagi hingga 5 petang itu turut melibatkan sukarelawan doktor veterinar bertauliah serta pelajar Doktor Perubatan Veterinar (DPV) UPM.


Pemilik kucing yang ingin turut serta dalam program ini boleh mendaftarkan haiwan mereka terlebih dahulu dengan membuat temujanji di nombor WhatsApp, 016-9274530 (SPCA).
Prosedur pemandulan kucing ini akan dikenakan bayaran tetapi subsidi diberikan di bawah pendanaan ‘Stray Free Selangor’, di bawah naungan Tengku Permaisuri Selangor.


Program tersebut merupakan anjuran bersama Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA) dan Persatuan Veterinar Haiwan Kesayangan Malaysia (MSAVA). - DagangNews.com








