Tempoh sukar belum berakhir buat Top Glove, dijangka terus berdepan tekanan margin | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tempoh sukar belum berakhir buat Top Glove, dijangka terus berdepan tekanan margin

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 10 Jun - Firma-firma penyelidikan menyemak turun harga sasaran (TP) Top Glove Corp. Bhd. dengan menjangkakan syarikat pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia itu akan terus berdepan persekitaran mencabar pada suku akan datang. 

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, untung bersihnya bagi suku ketiga berakhir 31 Mei 2022 menjunam kepada RM15.29 juta daripada RM2.04 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Ia menyaksikan pendapatan pada suku tersebut juga susut kepada RM1.46 bilion berbanding daripada RM4.16 bilion di tengah-tengah kesan normalisasi permintaan dan harga jualan purata (ASP) yang memberi impak kepada industri.

 

Bagi tempoh 9 bulan berakhir 31 Mei 2022, untung bersihnya juga merosot kepada RM288.56 juta daripada RM7.26 bilion manakala pendapatan susut kepada RM4.5 bilion berbanding RM14.29 bilion bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Penganalisis CGS-CIMB, Walter Aw berkata, tempoh sukar belum lagi berakhir buat Top Glove kerana penilaian semasa belum lagi mengambil kira faktor negatif kepada hasil kumpulan, manakala persekitaran operasi masih kekal lemah.

 

Beliau mengekalkan saranan 'kurang' terhadap saham Top Glove dengan TP disemak turun kepada RM1 daripada RM1.30 sesaham sebelum ini.

 

Ini menyaksikan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2022 (FY22) hingga FY24 juga dikurangkan sebanyak 31.5 hingga 38.6% berikutan volum jualan yang lebih rendah dan penurunan ASP.

 

"Keuntungan bersih teras bagi tempoh 9 bulan tersasar daripada jangkaan kami dengan merosot 96% tahun ketahun kepada RM287 juta (iaitu 63% daripada anggaran tahun penuh kami dan 55% konsensus Bloomberg). 

 

"Di sebalik terdapat kemungkinan ASP meningkat semula, tetapi kami menjangkakan hasil suku ke suku yang lebih lemah disebabkan pemampatan margin daripada kos operasi yang tinggi dan kenaikan kos input," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

Top Glove

 

 

Baca : Untung bersih Q3 Top Glove menjunam kepada RM15.29 juta akibat tekanan kos

 

Menurutnya, ASP Top Glove mungkin akan terus melemah bagi suku keempat berakhir 31 Ogos 2022 pada(dijangka susut 5% suku ke suku) AS$22 per 1,000 keping. 

 

Namun, beliau percaya ini tidak menunjukkan bahawa dinamik bekalan-permintaan sektor bertambah baik kerana pelanggan mengekalkan tahap inventori yang rendah (corak pembelian yang lebih perlahan) manakala kapasiti baharu masih ditambah secara agresif dalam sektor tersebut.

 

"Kami juga percaya ini disebabkan oleh kenaikan kos baru-baru ini, dan menjangkakan margin yang lebih rendah dalam jangka masa terdekat walaupun peningkatan dalam jualan pada masa hadapan," tambahnya.

 

Pada masa sama, Aw juga berpendapat, langkah Top Glove untuk menangguhkan pelan pengembangan adalah positif dengan mengambil kira situasi lebihan bekalan dalam sektor sarung tangan getah dan kumpulan juga mempunyai kapasiti mencukupi untuk memenuhi lonjakan permintaan. 

 

Baca : Belum masanya laksanakan langkah pengambilalihan & penggabungan - Top Glove

 

Ketika taklimat prestasi kewangan semalam, Top Glove berhasrat untuk menangguhkan pelan pengembangannya ekoran situasi lebihan bekalan, yang dijangka memberi tekanan kepada ASP sarung tangan getah.

 

Kumpulan akan mengurangkan pelan pengembangannya kepada kira-kira 32 bilion keping dalam tempoh 4 tahun sehingga 2025 dengan mengambil kira persekitaran mencabar dalam tempoh terdekat.

 

Sebelum ini, Top Glove merancang untuk menggandakan kapasiti pengeluaran tahunan daripada 100 bilion keping pada 2021 hingga 201 bilion pada 2025. Ia telah pun mengurangkan kapasitinya sebanyak 13 bilion sebanyak 13 bilion dalam musim kewangan lalu.

 

 

Top Glove

 

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, situasi lebihan bekalan dalam pasaran telah menjejaskan margin Top Glove memandangkan kumpulan tidak berupaya melepaskan kos yang tinggi sepenuhnya kepada pelanggan.

 

Firma itu menjangkakan ASP akan terus menunjukkan trend penurunan memandangkan pengambilan vaksin terus meningkat di seluruh dunia dan juga persaingan sengit dalam industri sarung tangan getah. 

 

"Sehubungan itu, kami mengurangkan unjuran keuntungan Top Glove bagi FY22 sebanyak 47.6% manakala 36.4% bagi FY23 diikuti 15.7% bagi FY24 ekoran penurunan ASP telah menjejaskan keuntungan pada suku ketiga.

 

"Sejajar dengan semakan semula ini, kami juga mengurangkan TP kepada RM1.29 daripada RM1.75 sebelum ini dengan mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap Top Glove," katanya.

 

Kenanga Research turut menyemak turun TP kepada 95 sen daripada RM1.30 sebelum ini dengan mengulangi pandangan 'underperform'.

 

"Kami menjangkakan margin pada suku berikutnya kekal rendah disebabkan kos pengeluaran yang tinggi dan kadar penggunaan rendah secara berterusan menyebabkan kepada ketidakupayaan untuk mengatasi kos sepenuhnya," jelasnya. 

 

Setakat 9.29 pagi ini, harga sahamnya susut 7 sen atau 5.74% kepada RM1.15 dengan 14.34 juta saham diniagakan. - DagangNews.com