Tempahan UWC meningkat 13% daripada RM150 juta kepada RM170 juta | DagangNews Skip to main content

Tempahan UWC meningkat 13% daripada RM150 juta kepada RM170 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mac - Penyedia perkhidmatan sokongan kejuruteraan bersepadu, UWC Berhad mencatatkan peningkatan tempahan sebanyak 13% daripada RM150 juta kepada RM170 juta.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, peningkatan tempahan itu disumbangkan oleh semikonduktor sebanyak 82% manakala sains kehidupan dan perubatan menyumbang sebanyak 16% dan 2% lagi adalah campuran pelbagai sektor.

 

Firma penyelidikan itu berkata, tempahan daripada segmen semikonduktor adalah sangat kukuh dengan kumpulan itu akan mengeluarkan cip serta penguji sistem baharu yang dijangka dikeluarkan menjelang 3QFY22.

 

"Kumpulan itu juga dilihat akan mempercepatkan pengeluaran penguji cip kenderaan autonomi.

 

"Tanah pajakan yang baru diperoleh seluas 12 ekar dengan harga RM29 juta itu dijangka dibangunkan menjadi bahagian pengeluaran dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi mengatasi kekangan kapasiti daripada fasiliti Batu Kawan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan teras kumpulan itu bagi 2QFY2022 meningkat sebanyak 4% kepada RM24 juta menjadikan 1HFY2022 menurun sebanyak 9% kepada RM46 juta. 

 

uwc

 

Katanya, perolehan yang diperkukuhkan sebanyak 6% bagi suku itu adalah disebabkan sumbangan daripada segmen semikonduktor dan sains kehidupan.

 

"Peningkatan perolehan itu membuatkan pendapatan teras kumpulan meningkat sebanyak 4% kepada RM24 juta dan sebahagian pendapatan itu diimbangi oleh kos kakitangan disebabkan perbelanjaan pemberian saham.

 

uwc

 

"Hasil jualan juga meningkat sebanyak 3% hasil daripada permintaan dalam segmen semikonduktor, sains kehidupan dan industri teknologi perubatan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' bagi saham-saham UWC dengan sasaran harga lebih rendah iaitu RM6.19 berbanding RM6.52. - DagangNews.com