Tekanan inflasi: Pertumbuhan jualan kedai sama Padini susut 5%, pengguna kini berhati-hati berbelanja | DagangNews Skip to main content

Tekanan inflasi: Pertumbuhan jualan kedai sama Padini susut 5%, pengguna kini berhati-hati berbelanja

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 4 Mac - Perbelanjaan pengguna yang berhati-hati pada ketika ini akibat tekanan inflasi yang pelbagai dilihat menyebabkan pertumbuhan jualan kedai yang sama (SSSG) Padini Holdings Berhad menyusut 5% pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24).

 

Menurut MIDF Research, tekanan inflasi ketika ini menghakis pendapatan pengguna untuk perbelanjaan barangan yang mengikut budi bicara.

 

"Walau bagaimanapun, pembukaan lapan kedai baharu, termasuk dua kedai BrandsOutlet, tiga kedai Konsep Padini dan tiga kedai Freestanding, mengimbangi sebahagian penurunan ini. 

 

"Secara keseluruhan, jumlah bilangan kedai meningkat kepada 154 pada 2QFY24 daripada 147 pada 1QFY24 walaupun Padini Jusco Cheras Selatan ditutup pada suku ini," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Melangkah ke hadapan, MIDF Research menjangkakan permintaan untuk produk Padini akan kekal berdaya tahan kerana harganya yang agak murah.

 

Kata firma penyelidikan itu, pelbagai bantuan tunai yang diperkenalkan dalam Bajet 2024 juga berpotensi meningkatkan perbelanjaan pengguna untuk produk Padini pada 2HFY24.

 

"Walau bagaimanapun, kami menyedari tekanan inflasi yang boleh memampatkan margin keuntungan, memandangkan cukai perkhidmatan yang lebih tinggi," jelasnya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan Neutral pada Padini dengan harga sasaran RM3.50 sesaham.

 

Menurut MIDF Research, kumpulan itu mencatatkan perbelanjaan jualan dan pengagihan (S&D) pada 1HFY24 yang lebih tinggi terutamanya disebabkan oleh peningkatan kos gaji daripada 27% dalam 1HFY23 kepada 32% dalam 1HFY24. 



Melangkah ke hadapan katanya, dengan cukai perkhidmatan yang lebih tinggi sebanyak 8% berkuat kuasa mulai 1 Mac 2024, dijangkakan perbelanjaan tidak langsung yang lebih tinggi.

 

"Kumpulan ini mahu mengekalkan margin keuntungan kasar pada 37-39%. Padini akan terus rapat memantau sebarang perubahan kos dan potensi kesan tidak langsung yang lebih tinggi cukai perkhidmatan di Malaysia. 

 

"Sekiranya berlaku perbelanjaan yang lebih tinggi, kumpulan itu mungkin pertimbangkan kenaikan harga. 

 

"Walau bagaimanapun, pelarasan harga akan menjadi pilihan terakhir sebagai kumpulan itu bertujuan untuk mengimbangi volum jualan dan harga," katanya.- DagangNews.com