KUALA LUMPUR 16 Feb - Perbelanjaan pengguna dijangka terhad pada 2023 di sebalik ketibaan pelancong yang lebih tinggi tahun ini, demikian menurut CGS-CIMB Research.
Keadaan ini disebabkan tekanan inflasi yang tinggi dan kitaran kenaikan kadar faedah, yang boleh menjejaskan corak penggunaan terutama membabitkan pembelian berskala besar.
Tourism Malaysia menyasarkan ketibaan pelancong sebanyak 15.6 juta orang tahun ini berbanding 9.2 juta pada 2022 berbanding 26.1 juta pada 2019.
Ini menyaksikan Retail Group Malaysia (RGM) sebelum ini mengunjurkan jualan runcit di Malaysia akan berkembang 3.5% tahun ke tahun pada 2023 susulan jangkaan pemulihan ekonomi dan ketibaan pelancong yang lebih tinggi.
Semasa pembentangan Prospek Pengguna Runcit Malaysia untuk 2023, Pengarah Urusan RGM, Tan Hai Hsin berkata, perbelanjaan runcit masih boleh bertahan dan pengguna boleh mengagihkan semula perbelanjaan kepada barangan dan perkhidmatan berkualiti tinggi.
Selain itu, pengguna juga boleh menurunkan dagangan tertentu kepada alternatif yang lebih berpatutan untuk mengekalkan kualiti hidup, berdasarkan pemerhatiannya terhadap corak pembelian pengguna, menurut RGM.
"Dalam hal ini, kami berpendapat, trend ini akan memihak kepada peruncit dengan profil jenama yang kukuh (kuasa harga yang lebih baik) yang menawarkan tawaran produk berbeza dan bernilai.
"Kami melihat ketibaan pelancong asing secara beransur-ansur pada 2023, terutama pelancong China (sumber ketibaan antarabangsa ketiga terbesar Malaysia dan pelancong berbelanja kedua tertinggi pada 2019) berikutan pembukaan semula China, sepatutnya membawa kepada kadar yang lebih tinggi untuk peruncit," katanya dalam nota kajian hari ini.
CGS-CIMB berkata, kedatangan pelancong yang lebih tinggi ini dapat membantu jualan syarikat yang memiliki rangkaian kedai dengan operasi luar negara.
Antaranya, Bonia (barangan mewah dengan operasi di Singapura dan Indonesia), InNature (butik penjagaan diri dengan operasi di Vietnam dan Kemboja), MR DIY (peruncit nilai) dan pengendali kedai serbaneka seperti Mynews, 7-Eleven dan FamiliMart (dimiliki QL Resources).
"Kami menjangkakan perbelanjaan pelancong asing ini akan menyumbang kira-kira 5 hingga 15% daripada jumlah jualan sebelum pandemik (bagi syarikat-syarikat yang disebutkan di atas)," katanya.
Menurut firma itu, dengan normalisasi dinamik bekalan-permintaan, kos input dijangka berkurangan secara beransur-ansur pada 2023 dengan harga bahan mentah yang lebih rendah (walaupun masih melebihi paras sebelum pandemik), caj pengangkutan yang lebih rendah dan ringgit semakin mengukuh. - DagangNews.com








