Tekanan inflasi, kemelesetan global tentukan penarafan semula sektor telekomunikasi - AmInvestment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tekanan inflasi, kemelesetan global tentukan penarafan semula sektor telekomunikasi - AmInvestment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Dis - AmInvestment Bank Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor telekomunikasi dengan penarafan semula bergantung kepada sejauh mana tahap kemelesetan global akan menjejaskan sentimen pengguna.

 

Menurut firma itu, walaupun penggabungan dua syarikat telekomunikasi (telco) utama dapat mengurangkan persaingan, tetapi pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan dan tekanan inflasi global akan memberi kesan kepada kemampuan dari segi langganan.

 

Pada masa sama, perbelanjaan operasi (opex) yang lebih tinggi daripada caj kapasiti borong tahunan 5G yang ditetapkan Digital Nasional Bhd. (DNB) terhadap syarikat telekomunikasi kemungkinan lebih daripada mengimbangi peningkatan permintaan data. 

 

"Bagaimanapun, kami mungkin menaikkan semula penarafan sektor ini sekiranya kemelesetan global pada 2023 menjadi lebih cetek daripada jangkaan serta penerimaan positif pengguna terhadap pelancaran produk 5G.

 

"Perubahan mendadak sentimen pengguna yang negatif ekoran disebabkan inflasi yang berterusan dan kebimbangan kemelesetan boleh menyebabkan kami menurunkan penarafan terhadap sektor ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Digi-Celcom telah melengkapkan langkah penggabungan pada 30 November lalu dengan Axiata Group Bhd. dan Telenor Asia memiliki pemilikan entiti yang sama pada 33.1%.

 

Dengan penggabungan itu, entiti Digi-Celcom akan memiliki 25% kepentingan dalam DNB manakala Telekom Malaysia Bhd. (TM) dan YTL Communications Sdn. Bhd. masing-masing memiliki 20% pegangan dan selebihnya dipegang Kementerian Kewangan.

 

Bagi caj kapasiti borong 5G, komitmen minimum entiti yang digabungkan akan menjadi nilai gabungan Celcom dan Digi kerana perjanjian akses telah ditandatangani sebelum penggabungan selesai.

 

Pada Oktober lalu, lima syarikat telekomunikasi, iaitu Digi, Celcom, YTL Communications, U Mobile dan TM yang menandatangani perjanjian akses itu komited kepada komitmen kapasiti minimum 800Gbps sebulan, yang diterjemahkan kepada yuran borong sebanyak RM288 juta setahun.

 

AmInvestment berkata, ia positif terhadap sebarang cadangan kerajaan untuk menyemak semula pelaksanana rangkaian 5G kerana ia mampu mengurangkan ketirisan dalam kontrak yang diberikan.

 

"Pada masa sama, penjimatan kos daripada semakan semula itu boleh disalurkan kepada syarikat telco," jelasnya. - DagangNews.com