KUALA LUMPUR 6 Julai - Prospek jualan hartanah baharu dijangka suram memandangkan sentimen pengguna yang lemah akibat tekanan inflasi, menurut MIDF Research.
Ini mendorong firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor hartanah meskpun permohonan pembiayaan bagi hartanah hanya menunjukkan sedikit perubahan dalam tempoh 5 bulan pertama 2022.
Penganalisisnya, Jessica Low Jze Teing berpendapat minta pembelian terhadap mungkin sedikit terjejas oleh tekanan inflasi kerana pembeli berhati-hati dalam membuat keputusan membeli barangan berskala besar.
"Selain itu, kenaikan kos bahan mentah juga dijangka memberi kesan kepada margin syarikat hartanah pada masa akan datang.
"Ini memandangkan pemaju tidak berupaya melepaskan kenaikan kos ini kepada pembeli," katanya dalam nota kajian hari ini.
Data yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan jumlah permohonan pembiayaan bagi pembelian hartanah pada Mei 2022 susut 1.7% tahun ke tahun kepada RM40.2 bilion.
Dalam tempoh 5 bulan pertama tahun ini, jumlah pembiayaan yang dipohon untuk pembelian hartanah sedikit berubah kepada RM191.8 bilion, menunjukkan minat belian adalah perlahan di sebalim pembukaan semula aktiviti ekonomi.
Bagaimanapun, jumlah permohonan yang diluluskan bagi pembelian hartanah adalah lebih tinggi sebanyak RM15.7 bilion pada Mei 2022 di sebalik permohonan pembiayaan yang lebih rendah.
Ini terutamanya disebabkan peratusan yang lebih tinggi daripada jumlah pembiayaan yang diluluskan berbanding jumlah pembiayaan yang dipohon sebanyak 39% pada Mei 2022 berbanding 35.8% pada Mei 2021.
Secara kumulatif, jumlah permohonan pembiayaan diluluskan meningkat 13.7% tahun ke tahun kepada RM74.9 bilion yang mencerminkan prospek jualan yang lebih baik kepada pemaju.
Namun begitu, Jze Teing berpendapat, keperluan bank yang ketat kekal sebagai cabaran bagi syarikat hartanah memandangkan peratusan jumlah pembiayaan yang diluluskan berbanding jumlah permohonan kekal di bawah 40% pada Mei 2022. - DagangNews.com








