Techna-X terbit saham baharu untuk bayar hutang RM1.02 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Techna-X terbit saham baharu untuk bayar hutang RM1.02 juta

KUALA LUMPUR 9 Sept - Techna-X Bhd. menerbitkan 37.09 juta saham baharu untuk membayar hutang berjumlah RM1.02 juta kepada seorang individu, Chan Kok San, pada 2.75 sen sesaham.

 

Syarikat inovasi teknologi dan pemboleh ubah transformasi digital itu memeterai perjanjian permodalan dengan Kok San untuk menyelesaikan jumlah yang terhutang, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Harga terbitan 2.75 sen sesaham itu mewakili diskaun 9.24% kepada harga pasaran purata wajaran volum lima hari bagi saham Techna-X sebanyak 3.03 sen pada 8 September 2022.

 

"Penyelesaian hutang yang dicadangkan itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas pendapatan Techna-X bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022. 

 

"Bagaimanapun, pendapatan sesaham Techna-X mungkin dicairkan akibat daripada (langkah) berkenaan," katanya.

 

Setakat 30 Jun 2022, Techna-X mempunyai jumlah pinjaman semasa berjumlah RM1.56 juta dan baki bank serta tunai berjumlah RM6.79 juta.

 

Namun, syarikat telah memilih jalan penyelesaian hutang untuk mengekalkan tunainya bagi tujuan lain seperti keperluan modal kerja.

 

Cadangan penyelesaian hutang itu dijangka selesai pada suku keempat 2022.

 

M&A Securities Sdn. Bhd. telah dilantik sebagai penasihat syarikat bagi melaksanakan cadangan langkah tersebut. - DagangNews.com