Techna-X, Borneo Eco Star bangunkan penternakan akuakultur pintar di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Techna-X, Borneo Eco Star bangunkan penternakan akuakultur pintar di Malaysia

Ketua Pegawai Eksekutif Borneo Eco Star, Shim Yen Lin (dua dari kiri) bersama Ketua Bahagian Teknologi Techna-X dan Ketua Pegawai Eksekutif Wavetree, Vince Ng (dua dari kanan) ketika majlis menandatangani perjanjian antara kedua-dua syarikat.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Jan - Techna-X Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Wavetree Technologies Sdn. Bhd., memeterai perjanjian kerjasama 5 tahun dengan Borneo Eco Star Sdn. Bhd. (BES) untuk membangunkan dan mengkomersialkan Platform Akuakultur Bersepadu Pintar bagi penternakan akua mampan di Malaysia. 

 

Ia akan menyaksikan Wavetree menggunakan penyelesaian internet segala-galanya (IoT) pertanian yang dianggarkan bernilai RM2.6 juta untuk 102 kolam yang dirancang oleh BES di Pusat Inovasi dan Akuakultur Pintar UiTM-BES.

 

Ketua Bahagian Teknologi Techna-X dan Ketua Pegawai Eksekutif Wavetree, Vince Ng berkata, pengalaman dan teknologi yang dimiliki syarikat diyakini mampu memberi sumbangan besar kepada  BES dan  Pusat Inovasi dan Akuakultur Pintar di Kota Kinabalu, Sabah. 

 

Katanya, platform IoT yang dihasilkan juga akan memberi manfaat kepada perniagaan akuakultur berskala kecil dan besar, di samping memainkan peranan penting dalam usaha negara ke arah keselamatan makanan dan daya tahan terhadap perubahan iklim.

 

"Sabah menjadi negeri yang berjaya dalam penternakan akuakultur dan kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan BES dalam pembangunan inovatif industri akuakultur ini kerana ia akan menyaksikan kemampuan teknologi digunakan di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menerusi perjanjian tersebut, Wavetree akan menggunakan teknologi IoT, platform perisian, analitik data dan teknologi kecerdasan pintar (AI) untuk pendigitalan data dan analisis data berkaitan. 

 

Pada Disember lalu, BES menandatangani memorandum persefahaman dengan UiTM untuk mewujudkan kerjasama jangka panjang untuk membangunkan Pusat Inovasi dan Akuakultur Pintar yang canggih di Sabah, inisiatif yang disokong Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju). 

 

Wavetree merupakan syarikat peneraju dalam teknologi IoT pertanian di Malaysia dengan penglibatan terbesar di Malaysia, Indonesia dan Amerika Selatan.

 

Sebelum ini, syarikat telah menggunakan penyelesaian IoT meliputi ladang sawit seluas 50,000 hektar dan kini sedang membangunkan dan mengkomersialkan platform pertanian pintar seperti ladang durian, penternakan sarang burung dan akuakultur.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BES, Shim Yen Lin berkata, Platform Akuakultur Bersepadu Pintar akan menggunakan teknologi terkini dalam IoT dan AI yang digabungkan dengan kepakaran akuakultur dan pengetahuan operasi untuk mencipta platform berasaskan IoT termaju yang boleh diakses oleh semua skala operasi.

 

"Platform ini bersedia untuk memacu penggunaan teknologi ternakan udang dan ikan di Malaysia dan rantau ini, sekali gus membolehkan operasi penternakan mendapat manfaat daripada pendekatan berasaskan sains dan dipacu data untuk memaksimumkan kecekapan, mengurangkan kos dan memaksimumkan hasil," katanya. -DagangNews.com