Tealive lancar stor berkonsep baharu melalui kerjasama pertama dengan Nestle | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tealive lancar stor berkonsep baharu melalui kerjasama pertama dengan Nestle

KUALA LUMPUR 28 April - Pemilik jenama Tealive, Loob Holding Sdn Bhd telah melancarkan stor berkonsep baharu atau Tealive Plus di Pavillion Kuala Lumpur.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding, Bryan Loo berkata Tealive Plus memberikan tawaran yang lebih jitu melalui bahan-bahan premium bagi menenuhi permintaan di lokasi yang eksklusif.

 

"Premium bermakna kami menggunakan produk segar seperti buah beri segar dalam minuman termasuk menu snek artisan yang menawarkan makanan panas.

 

"Pada masa yang sama, kami masih menawarkan produk premium baharu ini pada harga yang berpatutan untuk semua peringkat pelanggan walaupun kos bahan mentah terus melonjak," katanya kepada pemberita semasa pelancaran stor berkenaan disamping meraikan kerjasama dengan Kitkat, jenama coklat dari Nestle.

 

Syarikat itu merancang untuk membuka 10 lagi stor berkonsep baharu di pusat bandar Kuala Lumpur termasuk di Bangsar dan Mont Kiara.

 

Secara keseluruhan, Tealive, yang dilahirkan pada 2017, kini mempunyai lebih daripada 700 stor di Malaysia.

 

Loo berkata sebagai satu jenama gaya hidup di Asia Tenggara, ia juga merancang untuk berkembang kepada sekurang-kurangnya satu kedai konsep di setiap pasaran serantau.

 

Tealive turut bertapak di Australia, Brunei, Myanmar, Filipina, United Kingdom, Vietnam dan Kemboja.

 

 

tealive

 

 

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Perniagaan Nestle Professional bagi Malaysia dan Singapura  Yit Woon Lai menyifatkan kerjasama pertama dengan Tealive sebagai detik bermakna untuk kedua-dua pihak bagi menjalin kerjasama erat di masa depan, menurut Bernama.

 

“KitKat adalah satu jenama wafer coklat yang terkenal di peringkat dunia dan usaha mencampurkannya dengan teh Tealive merupakan usaha bersama yang hebat oleh kedua-dua pasukan penyelidik serta pemasaran.

 

“Sudah pasti, ini bukanlah penamat  kerjasama ini dan kami berharap dapat menyaksikan lebih banyak usaha seumpamanya kerana Nestle yang mempunyai rangkaian produk yang pelbagai,” katanya.

 

Pada acara itu,  Loo and Yit memperkenalkan minuman KitKat Coco Wafer Smoothie Tealive yang merangkumi Berry Smoothie dan Signature Smoothie yang diperbuat dengan lepa KitKat. - DagangNews.com